Monday 31 July 2017

JANGAN KURANG AJAR DI MEDIA SOSIAL: ELAK BUAT 5 PERKARA INI


Dulu-dulu ibu bapa kita pesan supaya kita menjaga akhlak kita dan beradab bila berurusan dengan sesiapa pun, tetapi zaman dahulu tiada media sosial. Zaman sekarang sudah berubah. Dunia kita dihubungkan dalam skala besar, bukan sahaja kita boleh berkomunikasi dengan kenalan di sekitar Malaysia, perhubungan kita juga merentas sempadan dengan munculnya macam-macam aplikasi seperti facebook, WeChat, Whatsapp, Instagram dan sebagainya. Dengan kemudahan yang disediakan secara percuma ini, tiada panduan yang dilampirkan bersama untuk menjaga keharmonian sejagat. Segalanya ‘freestyle” atau “gaya bebas” yang menyebabkan ramai individu berkelakuan kurang ajar tanpa disedari.


Mari kita baca 5 perkara kurang ajar yang sentiasa dilakukan warga Internet samada secara sengaja atau sebaliknya.


Berjual Di Dalam ‘Rumah’ Orang
Atau dikenali sebagai tukang spam. Mesej-mesej seperti Tumpang lalu, Maaf saya nak iklan sikit, Cantik anak… belilah barang saya, dan sebagainya adalah sangat kurang ajar. Kenapa? Kerana anda masuk ke ‘rumah’ seseorang dan berjual barang anda di ruang tamu mereka. Jika ditegur, tuan rumah akan digelar “penyekat rezeki orang lain”. Anggaplah setiap akaun orang lain itu ialah rumah dia, dan apa pun yang anda ingin lakukan, lakukan dengan adab sopan ketika masuk ke rumah orang lain. Pemasaran memerlukan kos. Mengapa anda rasa anda boleh menjalankan aktiviti pemasaran secara percuma dengan menjadi spammer di akaun media sosial orang lain? Sejauh mana keberkesanan teknik ini dan adakah teknik itu akan menjanakan pendapatan yang diberkati? Adalah salah bila kita menyangka cara kita itu betul dan ‘tuan rumah’ perlu bersetuju kerana kita sebangsa, seagama? Berniaga memerlukan kos, strategi yang betul dan adab yang baik, jadi janganlah kita melakukan perkara ini, umpama kita membuka kedai dan berjual di dalam rumah orang lain. Jika mahu memasarkan produk kita, gunakan saluran yang betul. Setiap pemilik akaun atau digelar micro influencer ini ada harganya. Silakan bertanya dan jika anda tiada bajet, jangan spam rumah mereka. Tanamkan sifat malu dan adab sopan dalam diri.   


Ciplak Karya Orang
Perangai ambil barang orang tanpa silu ini juga salah satu penyakit yang tular di dunia Internet. Bila ditegur, mereka menjawab “di dunia ini tiada istilah ciplak, segalanya hak yang Esa.” Kalau menggunakan logik yang sama, bolehlah saya mengambil duit di dalam dompet jiran saya atau memandu keretanya ikut suka. Untuk menghasilkan bahan, seseorang penulis perlu membuat kajian yang mengambil masa, diadun sempurna dengan stail penulisan masing-masing. Setelah bahan itu siap dan disebarkan, anda datang lantas menyalin dan menampal tanpa memberi apa-apa kredit kepada si penulis. Bukankah anda seorang pencuri? Andai anda merasakan penghasilan bahan ialah kerja mudah, perkara enteng, silalah cuba. Elakkan daripada mencuri karya orang lain persis bahan itu anda punya, dan lebih parah lagi apabila ada yang menjana pendapatan dengan jerit perih orang lain. Fikirkanlah berkat rezeki yang dihasilkan melalui cara ini. Cuba-cubalah menulis atau berkarya sendiri, mana tahu ada bakat terpendam, dan jika orang lain mencuri kerja anda, dapat pula anda merasakan sakitnya di mana..

Tulis Komen Sembunyi Muka
Ramai di kalangan penduduk Internet ini yang suka memberi komen tetapi tidak memaparkan muka sendiri untuk dikenali orang, seperti baling batu sembunyi tangan perumpamaannya. Oleh kerana identitinya tidak terserlah maka jari-jemari individu ini pun laju menulis komen-komen yang mengguris perasaan, memalukan, memfitnah dan sebagainya, dan menjangka dia hebat di belakang komputer. Kenapa perlu kisah, mereka bukan kenal aku siapa. Perangai jelik di sosial media ini jika dapat dielakkan dapat menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik untuk didiami. Ibu bapa yang mengetahui ada anak-anak yang berperangai begini, tegurlah. Jika ibu bapa yang buat, berhentilah.  Bagaimana cara terbaik untuk tidak melakukannya? Ialah dengan tidak memberi komen yang negatif dan mengguris perasaan orang. Senang bukan? If you have nothing good to say, just don’t say anything. Jika anda tidak ada perkara baik untuk dikongsi, lebih baik diam. Sampai muka budak-budak pun ingin dibanding-banding dengan komen yang menjelikkan. Komen-komen kita yang tidak senonoh akan mengutip mata dosa kita selama mana tulisan kita berada di dalam alam maya dan dibaca orang lain. Berhati-hatilah.


Laju Berkongsi Fitnah
Ternampak orang potong buah pisang, di dalamnya ada buah kiwi, terus percaya lantas butang Kongsi ditekan. Membaca gosip-gosip hebat tentang keaiban orang-orang popular, kita tanpa segan silu ingin dan sukacitanya ingin berkongsi dengan pembaca lain, menolong tularkan berita itu. Kita baca berita letak kad di kepala boleh menyembuhkan demam, kita share walaupun kita tahu bahawa kalau ini benar, tutuplah klinik-klinik dan pelajar bidang perubatan tidak perlulah mengaji bertahun lamannya. Sering kita terlihat ayat ini, “Tak tahulah berita ini benar atau tidak, saya share sahaja”. Aduhai, kalau dah tak tahu, janganlah disebarkan. Mudah sahaja. Hentikan jadi agen penyebar berita tidak sahih a.k.a fitnah untuk kesejahteraan masyarakat sejagat. Jangan kita anggap ini perkara kecil kerana satu campur satu, dua dan jika berita fitnah itu tular, seluruh masyarakat menanggung akibatnya.


PM/DM suami/isteri orang
Dalam semua aplikasi yang ditawarkan, chat atau ruang berbual memang ciri penting yang sering ditawarkan. Oleh kerana cara ini memudahkan kita untuk berhubung dengan kenalan, ramai warga internet yang menyalahgunakan kemudahan ini untuk merosakkan hubungan sedia ada dengan PM (private message) dan DM (direct message) pasangan orang lain. Hi.. hello.. Boleh kenal??.. Cantik gambar profil.. Maka perhubungan pun bermula dan telefon bimbit sentiasa dibawa bersama wa’ima masuk tandas pun gamaknya. Kawal diri, kawal rasa dalam menjaga perhubungan berkeluarga dan juga sesama manusia.


Media sosial sudah menjadi gaya hidup masyarakat masa kini dan mainkanlah peranan kita sebagai seorang warga internet yang beradab dan bertamadun dengan tidak melakukan lima perkara kurang ajar ini.

No comments:

Post a Comment