Tuesday 23 May 2017

3 Perkara Mesti Buat Di Liverpool

Oleh YougoGoPop

Sewaktu bercuti ke UK baru-baru ini, YouGoPop sempat juga ke kota Liverpool. Walaupun hanya untuk 2 hari 1 malam, banyak juga pengalaman menarik yang sempat kami alami.

Untuk ke Liverpool, kami memilih untuk mengambil bas dari Victoria Bus Station di London. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 6 jam dengan satu berhenti rehat dan juga di Manchester untuk menurunkan penumpang. Walaupun masa perjalanan agak lama, tetapi selesa dan banyak juga pemandangan yang menarik yang dapat kami lihat.



Seterusnya, inilah 3 perkara mesti buat bila berada di sana.

1. Liverpool ONE
Bas kami berhenti di sini dan di sini jugalah tempat membeli belah yang terbesar di Liverpool dan kelima di UK. Berkonsepkan "open air" dan meliputi kawasan yang luas, terdapat pelbagai jenis kedai untuk semua jenis bajet, dan juga tempat isirehat termasuk sinema, serta restoran, bar dan kafe. Perlu mengambil masa juga untuk "explore" semua yang ditawarkan, jadi kami pun hanya sempat menjenguk sepintas lalu apa yang terdapat di sini.

Gambar oleh: Mike Pennington/Wikipedia

Paling lama, kami menghabiskan masa di kedai buku Waterstone's. Ah, memang sangat mengujakan buat mereka yang minat mencari bahan-bahan bacaan yang mungkin tidak terdapat di kedai-kedai buku biasa. Dekor dan susunan buku di sini juga sangat menarik dan "mengundang" kami untuk menghabiskan masa dengan lebih lama.




2. Albert Dock
Dibuka pada  tahun 1846, dok dan gudang di sini merupakan penjana ekonomi utama kota Liverpool. Dan pada tahun 1988, ia dibuka semula selepas 16 tahun ditutup, dan kini menjadi antara tarikan utama pelancong dengan adanya muzium-muzium, kafe, kedai untuk membeli belah dan pelbagai kemudahan lain.



Dengan cuaca yang agak sejuk ketika kami berkunjung ke sana, memang seronok berjalan mengambil angin di sini sambil menikmati pemandangan yang indah dan suasana yang tenang.




Seperti di kota-kota lain di UK, memasuki muzium-muzium adalah PERCUMA secara amnya, dengan pilihan untuk membuat sumbangan ikhlas. Kami sempat berkunjung ke Museum of Liverpool, dan dalam masa kurang 2 jam, banyak yang dapat kami pelajari tentang kota ini.

Dan sudah tentu fokus kami lebih kepada sejarah muzik Liverpool yang begitu kaya dan disegani, termasuklah kisah band yang paling terkenal di dunia, The Beatles.




Di sini juga, kami sempat menaiki Wheel of Liverpool untuk menikmati pemandangan dari atas yang hebat.



Jika anda ada masa, satu tarikan mesti-pergi sudah tentu pameran The Beatles Story. Malangnya, kami tidak berkesempatan buat kali ini.


3. Stadium Anfield
Semestinya kami tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke salah sebuah stadium paling terkenal di dunia ini. Ada beberapa cara untuk ke sana, termasuk mengambil bas Hop On, Hop Off dengan bayaran GBP8 setiap seorang. Namun, kami mengambil Black Cab dengan perjalanan tak sampai 10 minit.

Pemandu teksi juga teruja bila mendapat tahu kami dari Malaysia. "You've come all the way to see Liverpool? My goodness!" katanya.

Kalau anda peminat kelab bolasepak Liverpool, kali pertama menatap stadium ini yang biasanya dilihat melalui kaca television setiap minggu, memang pengalaman penuh magis. Di sinilah deretan trofi telah dimenangi dan lagenda disanjungi.



Sebelum ke stadium, kami telah pun membuat tempahan tiket Stadium Tour (17GBP untuk dewasa), jadi selepas mengelilingi stadium dalam cuaca yang agak sejuk, kami pun mengikuti tour guide kami bersama pengunjung-pengunjung yang lain.

Cukup kami katakan yang inilah GBP17 yang paling berbaloi pernah kami belanjakan. Kunjungan ini membawa kami ke hampir setiap pelosok Stadium Anfield; dari lounge pemain, ke bilik pertukaran pakaian, ke main stand dan ke padang (walaupun tak boleh pijak rumputnya).





Dan kami diberikan masa secukupnya untuk mengambil seberapa banyak gambar dan video yang kami inginkan. Oh ya, walaupun tidak dibenarkan untuk pijak padang di Anfield ini, kami dibenarkan membawa pulang secebis rumput yang baru dipotong sebagai kenangan : )



No comments:

Post a Comment