Tuesday 7 February 2017

5 Perkara Perlu Tahu Tentang Biometrik

Oleh YouGoPop

Masih ingat adegan dalam filem Mission Impossible: Rogue Nation ketika Benji Dunn perlu melepasi stesen janakuasa berkawalan ultra ketat itu? Pertamanya dia perlu melepasi imbasan retina mata, keduanya cap jari perlu diimbas sepadan dan kemudian, dia harus melepasi analisis gaya berjalan untuk memberhentikan pusaran air di empangan.  Jika salah satu bacaan tidak tepat, dia akan ditembak mati serta-merta. Itulah contoh teknologi biometrik. Dan apabila Ethan Hunt memperoleh cakera USB penting itu, mereka perlu pula dapatkan cap jari dan suara Perdana Menteri secara serentak untuk ‘membuka’ kandungannya. Wah, macam-macam jenis biometrik mereka guna dalam satu filem tetapi mari sini YouGoPop nak cerita, kebanyakan biometrik di dalam filem acah-acah sahaja.


Biometrik sememangnya teknologi canggih yang dapat mengenalpasti identiti dengan menggunakan anggota badan dan telah digunapakai secara meluas di seluruh dunia untuk pelbagai tujuan, terutamanya keselamatan. Teknologi biometrik yang paling popular di dunia ialah imbasan cap jari; teknologi sedia ada lain termasuk imbasan tapak tangan, imbasan urat jari, imbasan retina mata, imbasan wajah, pengenalan suara dan imbasan bentuk telinga. Tetapi, apa yang kita saksikan di dalam kebanyakan filem lebih auta daripada fakta jadi YouGoPop akan menampilkan 5 perkara perlu tahu tentang teknologi biometrik.

Klon Tidak Mudah
Sila tengok jari anda sekarang, perhatikan pusaran-pusaran yang terdapat di atasnya. Pusaran jari telunjuk tidak sama dengan pusaran jari kelingking. Pembacaan cap jari mengambil titik-titik dari jari dan peratusan pembacaan perlu melepasi kadar yang ditetapkan untuk mendapatkan bacaan positif. Maksudnya jika pengimbas membaca 2000 titik, anda perlu memadankan 90% atau lebih (1800 titik) untuk mendapatkan bacaan positif. Kalau nak klon jari seseorang, bukan sahaja anda kena beli perkakasan yang betul tetapi jari yang ingin diklon perlu ada di sisi supaya terapan dapat dibuat dengan sempurna. 

Dah siap klon, kena pergi ke mesin imbasan dan cuba sampai berjaya, sebab selalunya mesin tidak akan membaca jari yang tidak hidup. Tak perlu nak klon la, suruh je orang tu letak jari dia di mesin imbasan kerana tentu sekali orang itu tidak mahu anda klon jari dia. Kalau klon wajah lagilah rumit sebab anda bukan sahaja kena ada alat pencetak muka (yang tidak dijual di pasaran) dan kena bawa makeup artis Hollywood bersama anda, itu pun tak tentu lagi berjaya.


Klon wajah tidak semudah ini.

Pengimbas Tidak Boleh Baca Hantu
Tak percaya? Cuba letak gambar jari anda di atas pengimbas, jawapannya tentu negatif. Jari mati akan dilihat sebagai satu gambar gelap oleh pengimbas dan lekuk serta pusaran cap jari tidak akan dapat dilihat dengan jelas. Peralatan pengimbas ini mempunyai kiraan algoritma yang berbeza dari satu jenama ke satu jenama yang lain, dan kiraan ini mengambil kira ribuan titik-titik di jari dan di muka, jarak antara satu titik dengan titik yang lain untuk dimasukkan kiraannya sebelum keputusan dibuat. Pengimbas wajah mengambil kira wajah ketika anda ketika mendaftar dan jika wajah itu berubah sedikit kerana anda tersenyum atau kenyit mata, atau memakai cermin mata, anda tidak akan disahkan.

Cap Jari Boleh Hilang, Muka Boleh Berubah
Walaupun cap jari dan muka kita unik, ini tidak bermakna ianya tidak boleh berubah. Pengunaan bahan-bahan kimia yang mengikis di tangan akan menyebabkan pusaran di jari kita hilang mengikut masa. Wanita-wanita yang kerap membasuh dengan tangan, cap jari mereka lebih mendatar berbanding dengan wanita ala Kim Kardashian yang tidak membuat kerja-kerja rumah. Wanita-wanita di Sudan tidak boleh dibaca jari mereka akibat penggunaan inai hitam yang kerap. Jari warga emas juga tidak sesihat jari muda mudi. Wajah juga boleh berubah jika bersolek tebal, memakai cermin mata, tersenyum, mulut ternganga, dan sebagainya.


Inai Sudan ini menutup semua corak cap jari.

Bandingan Memerlukan Templat Asal
DNA juga merupakan sejenis biometrik. Katalah kita nak menguji DNA yang kita jumpa, satu set senarai DNA perlu ada untuk dibanding. Kalau ada filem-filem yang jumpa DNA kemudian terus tahu itu DNA siapa, auta la jawabnya. Pangkalan data DNA ini selalunya milik pihak berkuasa, itu pun jika mereka ada laporan DNA dari pemilik. Oleh kerana ini Anwar Ibrahim tidak mahu memberi laporan DNA kerana takut disalahguna. Sama juga seperti cap jari. Cap jari yang digunakan untuk tujuan komersial atau pejabat tidak sama dengan cap jari yang disimpan pihak berkuasa atas tujuan pencegahan jenayah. Maksudnya, cap jari yang anda tinggalkan di cawan tidak boleh digunapakai untuk masuk ke pejabat dan cap jari yang anda guna untuk masuk pejabat tidak tersenarai di dalam cap jari pengenalan penjenayah jika ada tidak pernah disabitkan kesalahan jenayah. Kesimpulannya, bandingan biometrik hanya boleh dilakukan bila ada templat asal yang boleh dibandingkan.

Sistem Biometrik Tidak Mahal
Tahukah anda sudah begitu banyak pejabat kecil mahupun besar menggunakan sistem biometrik untuk kehadiran pekerja dan akses pejabat? Walaupun sistem biometrik ini berteknologi tinggi dan canggih, harga pemasangannya di pasaran tidaklah begitu mahal jika dibandingkan dengan keberkesanan yang ditawarkan. Janganlah dibandingkan dengan sistem biometrik di peringkat negara bagi tujuan pengenalan pasport, sistem itu mempunyai  teknologi yang berbeza dengan ciri-ciri keselamatan yang lebih ketat. Sistem biometrik seperti imbasan cap jari, retina, tapak tangan, urat jari dan sebagainya dijual mampu milik dan sistem ini terbukti mampu menguruskan masalah pengurusan kakitangan seperti mereka yang suka curi masa, masuk lambat ke pejabat dan sebagainya. Dan yang paling best, pekerja tidak perlu membawa apa-apa, hanya bawa diri sendiri untuk pengenalan! Imbas jari atau wajah dalam masa 2 saat dan siap!

 
Mesin pengimbas wajah tidak diskriminasi, kacak atau tidak tidak diambilkira.

No comments:

Post a Comment