Friday 10 February 2017

Guru Bertukar Menjadi Cinderella

Oleh YouGoPop

Dulu-dulu semasa kecil soalan apakah cita-cita anda merupakan soalan wajib jawab untuk dimasukkan ke dalam rekod pelajar. Antara jawapan lazim diberi oleh murid-murid selain Jurutera dan Jururawat ialah untuk menjadi seorang Guru. Mengapa guru menjadi pilihan? Pertama, jawatan ini berstatus tinggi di mata masyarakat; cikgu membimbing anak-anak untuk menjadi karyawan, ahli perniagaan, budayawan dan ilmuan. Kedua, guru memerlukan bijaksana dan perlu mendapat latihan formal di maktab perguruan atau universiti. Ketiga, kerjaya guru lambang kestabilan di mana jarang kita dengar guru berhenti kerja atau diberhentikan.

Dan kerjaya perguruan masa kini, walaupun didepani pelbagai beban dan kritikan, masih merupakan satu kerjaya yang disanjung tinggi oleh masyarakat.

Majlis Persaraan Guru Besar Sekolah Kampung Tun Razak pada 7 haribulan Februari 2017 ini telah diraikan umpama menerima lawatan keluarga di Raja, diarak di dalam kereta kuda berhias bagaikan Cinderella, dan disanjung ramai umpama idola.


Diarak bagaikan permaisuri


Guru Besar Puan Aisah Mohd Johar mula berkhidmat sebagai seorang guru semenjak tahun 1978  pada usia 21 tahun sejurus selepas beliau menamatkan pengajian di Maktab Perguruan Teknik, Cheras Kuala Lumpur. Bertugas menabur bakti di sekolah-sekolah di sekitar negeri Hang Tuah, Melaka, Puan Aisah tidak selesa dengan kelulusan yang beliau perolehi dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri untuk anak-anak bangsa. Di sekitar usia beliau 40-an dan mempunyai 4 orang anak, Puan Aisah mengambil keputusan untuk mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pendidikan di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran keluarga dan kerjaya. Seterusnya beliau menyambung pendidikan ke tahap Sarjana di bidang yang sama,  dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan tekad untuk maju dan membuktikan kepada anak-anak dan murid-murid bahawa di mana ada kemahuan, di situ, tentu sekali punya jalan. “Andai bukan kita yang mengambil langkah pertama untuk memperbaiki diri, jadi siapa yang akan melakukannya?, “ ujar Cikgu Aisah kepada YouGoPop.  

Cikgu Aisah bukan sahaja mengajar di sekolah kebangsaan, beliau juga pernah berbakti di Sekolah Menengah Yok Bin Melaka yang rata-rata muridnya berbangsa Tionghua. Beliau berkhidmat di sekolah menengah dan rendah, mengajar subjek Perdagangan, Bahasa Melayu, Kemahiran Hidup dan banyak lagi.  Dikenali sebagai seorang guru yang tegas tetapi cukup teliti dan baik hati, Cikgu Aisah sentiasa mensasarkan kecemerlangan dalam apa jua aktiviti yang dilakukannya. Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Guru Penolong Kanan 1 selama 10 tahun. Terbaru, Sekolah Kampung Tun Razak dinobatkan sebagai Johan Kategori Sekolah Rendah Luar Bandar bagi Anugerah Kantin Bersih, Selamat dan Sihat Peringkat Kebangsaan 2016. Anugerah lain yang disandang sekolah pimpinan beliau ialah Naib Johan 3K Peringkat Kebangsaan 2015 dan Johan Pertandingan Pantun Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan tahun yang sama. Cikgu Aisah sentiasa mencari ruang untuk memperbaiki kelemahan yang terdapat di sekitar sekolah kelolaannya baik dari segi akademik dan ko-kurikulum. 
 
Pusat Sumber Sekolah ini telah diberi nama Pusat Sumber Seri Aisah sempena nama Guru Besar Aisah

Cikgu Aisah telah menamatkan perkhidmatannya sebagai pendidik dengan jawatan Guru Besar di Sekolah Kampung Tun Razak, Melaka, setelah menabur bakti selama 38 tahun 11 bulan 7 hari dengan acara gilang gemilang dan penuh kasih sayang.

 Pelbagai persembahan telah dipaparkan sebagai penyeri majlis gilang gemilang
Kerjaya perguruan memerlukan ketabahan, kesetiaan, dan keprihatinan di seluruh tempoh perkhidmatan dan untuk menjadi seorang pendidik, bukan pendapatan lumayan yang menjadi pertaruhan. Ketika anak-anak didik berjaya menjadi ahli masyarakat yang menyumbang, lantas tugas seorang guru itu lengkap dan memberi kepuasan. Kepada para graduan zaman sekarang yang sering mendambakan kehidupan mewah berkadar segera tanpa perlu berbudi kepada masa; setiap kemajuan bermula dari bawah dan jika tiada pengenalan kepada abjad abc dan angka 123, kita tidak akan berada di mana kita berada sekarang.


Akhir kata dari YouGoPop, sayangi dan hargai jasa guru kita walau di mana kita berada.

No comments:

Post a Comment