Wednesday 1 February 2017

5 Perkara Perlu Buat Di Dubai

Oleh YouGoPop

Dubai bukanlah ibu negara Emiriah Arab Bersatu atau UAE, tetapi bandar ini cukup popular sebagai destinasi percutian pelancong Asia, Eropah, Afrika dan Amerika. Bandar ini juga dikenali sebagai pusat perdagangan di rantau ini. Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Dubai mengambil masa lebih kurang 7 jam dan beza masa ialah 4 jam ke belakang waktu Malaysia. Kalau kita bangun pukul 6 pagi di Malaysia, di Dubai baru pukul 2 pagi. Matawang Dubai ialah Emirates Dirham atau AED yang bernilai RM1.28. Dubai mempunyai musim panas dan musim sejuk. Musim panas berlegar di sekitar bulan April hingga Ogos, di mana kepanasan boleh memuncak sehingga 50C dan masa paling selesa untuk melawat Dubai ialah di antara Disember hingga Februari yang bersuhu di sekitar 20C sehingga 14C.



YouGoPop mencadangkan 5 perkara yang boleh anda buat di Dubai.

1. Safari Padang Pasir
Untuk mereka yang suka mencari kelainan, safari padang pasir ini tentu sekali mengujakan. Bayaran untuk seorang di sekitar AED150 sehingga AED300, bergantung kepada syarikat yang anda pilih. Dengan pakej ini anda akan diambil di hotel dengan kenderaan pacuan 4 roda dan dipandu terus ke padang pasir untuk mengalami pengembaraan lasak menelusuri padang pasir yang berbukit bukau. Jangan panik apabila pemandu membuang angin tayar sedikit, ini untuk memudahkan pengendalian kenderaan di padang pasir. Sila pakai tali pinggang keledar dan pegang palang di atas kepala anda kerana ramai juga pemandu padang pasir ini di kalangan stuntman. Selepas lebih kurang 30 minit, anda akan dibawa ke kem di mana anda boleh menaiki unta. Peringatan: Naik unta mudah, turun unta sila pegang kuat-kuat!



Makan malam disediakan dan anda turut dihidangkan dengan tarian pusing “whirling dervish” yang pastinya memukau diikuti dengan tarian gelek yang menawan. Jika anda pergi di musim sejuk, jangan lupa membawa baju sejuk kerana malam di padang pasir sedikit dingin.



2. Bot dan Muzium
Di Dubai segalanya mahal, terutama makanan. Jika anda tiada banyak bajet dan  mahu menikmati bandar ini dengan berjimat, anda boleh memilih untuk menaiki Metro ke bandar Deira dan menaiki bot kayu merentasi sungai Dubai (Dubai Creek). Tiket untuk satu hala berharga hanya AED1 tetapi jika anda seorang perempuan, pasti sahaja akan menjadi tumpuan mata-mata lelaki di atas bot itu. Pakai saja cermin mata hitam dan nikmatilah permandangan Dubai dari sungai. Dubai Muzium yang terletak di Bur Dubai juga boleh anda lawati dengan harga AED3 untuk tiket masuk. Muzium ini menarik dilawati untuk anda mengenali sejarah bandar ini.


3. Berbelanja Sampai Pengsan
Kepada mereka yang mempunyai poket besar, dompet gemuk dan bajet besar, Dubai merupakan syurga membeli-belah. Dubai Mall yang bersaiz 50 padang bola memang boleh membuatkan kaki anda pejal di hujung hari tanpa perlu buat squat tetapi mall ini menawarkan barangan mewah dan berjenama sahaja. Kalau bawa sekitar AED100-200 mungkin agak sukar untuk berbelanja di sini. Mall lain dengan harga berpatutan termasuklah Al Ghurair di Deira, Mall of the Emirates yang menempatkan tempat Dubai Ski, Burjuman di Bur Dubai, Ibn Battuta Mall yang berada di hujung laluan Metro dan kalau rajin lagi boleh menjenguk ke Global Village yang cukup besar untuk berbelanja. Untuk wanita Malaysia yang sukakan abaya, silalah ke Naif Souk yang bertempat di Deira. Nak shopping di Dubai, periksa tarikh DSF (Dubai Shopping Festival) untuk mendapat potongan hebat.




4. Burj Khalifa
Burj Khalifa adalah bangunan tertinggi di dunia. Mudah sahaja untuk ke sini, anda hanya perlu pergi ke Dubai Mall, ikut tanda ke Dubai Fountain dan anda boleh tatap bangunan ini sepuasnya. Jika ada bajet lebih, anda boleh membeli tiket untuk naik ke tingkat 125 untuk menikmati keindahan bandar Dubai. Harga tiket dalam lingkungan AED125-AED200 dan jika nak naik tinggi lagi ke tingkat 148, harga tiket pun meningkat daripada AED300 ke AED500. Namun jika tiada bajet besar, tengok sahaja Burj ini dari bawah, sangat mengasyikkan. Pertunjukan air pancut berdepan dengan Burj Khalifa hanya ada pada waktu malam bermula pukul 9 setiap setengah jam. Dan setiap kali lagunya berlainan dan anda pasti akan terpukau. Dicadangkan untuk pergi ke restoran di tingkat satu seperti di iHOP (International House of Pancake) untuk menyaksikan pertunjukan LED di Burj Khalifa dan air pancut serentak tanpa bayaran.


5. Dubai Lama
Di Deira terdapatnya pasar rempah dan pasar emas yang popular. Spice Souk dan Gold Souk membawa anda ke Dubai lama yang menimbulkan perasaan yang berlainan daripada membeli belah di mall. Spice Souk atau Pasar Rempah ini menawarkan pelbagai jenis rempah ratus, kekacang, wangian, bunga-bunga dan sebagainya. Janganlah malu bertanya kegunaan rempah ratus yang dijual dan para penjual pun sudah biasa dengan pengunjung dari Malaysia. Jika tidak suka Najib tidak mengapa, mereka akan menyebut Mahathir untuk mengambil hati kembali.





Gold Souk atau Pasar Emas berdekatan sahaja dengan Pasar Rempah dan di sini terdapat emas pelbagai rupa. Nak sekilo, dua kilo, tiga? Tiada masalah. Satu gaun emas pun dijual di sini. Andai tiada bajet untuk membeli emas, ambillah gambar-gambar menarik dengan kedai-kedai emas ini sebagai kenangan.

Saksikan klip menaiki kenderaan pacuan 4 roda menelusuri padang pasir.


No comments:

Post a Comment