Showing posts with label Relationship. Show all posts
Showing posts with label Relationship. Show all posts

Thursday, 23 November 2017

Masih Setia Dengan Si Dia Walaupun Sudah Tiada Rasa?



Oleh YouGoPop

Cetusan chemistry, mabuk cinta dan perasaan asyik memang lazim bagi mereka yang baru melanglah ke alam percintaan. Segalanya tentang pasangan anda indah belaka. Kekurangan si dia tentu sekali tidak ada kerana cinta itu buta. Apabila melihat dia, anda ceria dan jika dia tiada anda berduka.

Namun begitu, bagaimana pula dengan pasangan yang sudah bertahun-tahun bercinta tetapi masih belum berumahtangga? Adakah perasaan-perasaan indah ini masih wujud atau anda sudah semakin nampak kecacatan pasangan anda? Ada juga mereka yang sudah benci dengan perangai si dia tetapi tidak tahu bagaimana untuk menamatkan hubungan yang sudah menjangkau ulangtahun jubli perak.

Di saat ini apabila melihat si dia anda rasa biasa, jika dia tiada, ada terasa sedikit suka. Disebabkan sudah begitu lama mengenali antara satu sama lain dengan tiada ikatan yang sah, anda meneruskan sahaja perhubungan walaupun semuanya sudah hambar, sudah tiada rasa lagi.

Ramai pasangan yang terjerat di dalam situasi ini dan tidak tahu bagaimana untuk melepaskan diri. Walaupun hati sudah tidak cinta atas alasan alang-alang dah lama bersama, ku teruskan sahaja dan akan ku tempuh segala buruk baik yang mendatang.

Disebabkan perkara ini juga, orang-orang tua sering ingin mempercepatkan perkahwinan apabila si teruna dan dara sudah mula memadu asmara kerana mereka tahu apa akibatnya apabila bercinta kosong lama-lama. Mereka makan garam dulu dari kita dan mereka sudah arif tentang perhubungan Uda dan Dara.

Mula-mula bercinta, berjumpa itu indah; lama kelamaan, sudah tidak tahu ke mana arah tuju, semuanya jadi biasa dan masing-masing meneruskan perhubungan kerana terpaksa. Satu lagi sebab ialah mereka takut apabila sudah lama bercinta, banyak territory larangan yang akan dijelajahi pasangan ini.

Pasangan hambar begini tidak harus meneruskan perhubungan atas alasan sudah lama bercinta kerana apabila mereka mengambil keputusan untuk berumahtangga, adalah sukar untuk mengukir bahagia. Perkahwinan seharusnya dibina atas dasar kasih sayang, hormat menghormati dan rasa cinta yang tidak berbelah bagi.

Apabila pasangan sudah mula bosan antara satu sama lain, bagaimana untuk meneruskan perkahwinan yang sepatutnya kekal sehingga ke akhir hayat. Hati-hati yang hambar ini akan senang teruja apabila ada insan-insan baru yang menunjukkan minat untuk mengenali mereka dengan lebih dekat lagi.

Lantas, ada yang mengadakan affair di luar sana walaupun sudah ada suami dan isteri kerana dengan pasangan baru perasaan indahnya percintaan akan muncul semula. Oleh kerana itu, sering kita dengar pasangan yang sudah bertahun-tahun bercinta bercerai hanya selepas sebentar berumahtangga.

Untuk pasangan yang sudah lama bercinta dan merasakan antara kamu berdua sudah tiada rasa, cubalah hidupkan kembali bibit-bibit cinta dan nilai kembali sejauh mana rasa cinta kamu berdua terhadap satu sama lain. Jangan jadikan tempoh percintaan sebagai beban yang terpaksa ditanggung walaupun hatimu sudah tawar untuk si pasangan dan mata anda sering meninjau-ninjau prospek baru yang berdekatan.

Jujurlah kepada hati sendiri kerana jika tidak, anda hanya akan mengecewakan diri anda dan juga dirinya, dan sekiranya anda memilih untuk mendirikan mahligai perkahwinan dengan si dia, anda juga akan melibatkan keluarga dan ibubapa kamu berdua. 

Rasa dalam bercinta itu penting kerana ia merupakan talian kasih antara kau dan si dia. Jangan tidak diambil indah perihal rasa, buruk padahnya nanti. Di zaman dahulu, walaupun banyak perkahwinan yang diatur keluarga, ianya kekal lama kerana pasangan bercinta dan mengenali satu sama lain selepas berumahtangga.

Namun di zaman ini terbalik ceritanya dan apabila sudah mengenali satu sama lain dengan begitu lama tanpa ikatan perkahwinan, sukar untuk melayari bahtera rumahtangga apabila rasa telah tiada. Sebagai nasihat, apabila sudah suka janganlah bercinta lama-lama. Jangan bercinta kosong tanpa tujuan, tidak baik untuk masa depan.


Gambar: Shelby Deeter di Unsplash

Monday, 28 August 2017

Retak Menanti Belah: 7 Masalah Perhubungan Yang Sukar Dipulihkan


Perkahwinan memerlukan lebih daripada perasaan cinta untuk berjaya kerana apabila dua individu sudah hidup bersama, cabaran yang dihadapi mereka tidak sama ketika mereka sedang bercinta. Apabila kita merelakan individu lain untuk hidup bersama dan berkongsi segalanya, suka dan duka, pelbagai hal boleh berlaku yang akan menyebabkan kita rasa sudah tidak serasi bersama, dan akhirnya mencari jalan keluar. Pilihan untuk berpisah adalah pilihan yang sangat sukar lebih-lebih lagi bila pasangan sudah bercahayamata. Namun untuk meneruskan hidup bersama itu lebih menyeksakan dua jiwa. Sebelum berlakunya retak menanti belah dalam perkahwinan, kenali 6 masalah perhubungan yang sukar dipulihkan dan elakkan daripada terjerumus ke dalamnya.


Curang Bersiri
Kecurangan bukan satu masalah yang unik dalam perkahwinan. Ramai pasangan yang telah berumahtangga pernah membuat perhubungan dengan orang lain tetapi  bukan semua kes akan melibatkan penceraian atau ketidakbahagiaan. Selalunya pasangan akan memberi peluang sekali atau dua kali untuk si dia bertukar menjadi setia dan tidak mengulangi perbuatan itu. Masalah kronik timbul apabila kecurangan ini dilakukan berkali-kali tanpa sedar diri atau ada ciri-ciri untuk kembali ke pangkal jalan kerana hati pasangan yang sering dipecahkan selalunya memang tidak akan dapat bertahan lama.


Penipu Tegar
Mempunyai pasangan yang tidak jujur ini menimbulkan banyak prasangka dalam perhubungan. Tiba-tiba dia hilang dari rumah dan tidak tahu mana perginya. Bila ditanya dia akan berdolak-dalih dan tiada bukti sahih di mana dia berada. Kerahsiaan ini menyulitkan perhubungan kerana dalam hati pasangan terdetik, apakah perkara yang dia sembunyikan, adakah dia seorang yang curang, dan ini akan merosakkan perhubungan dalam jangkamasa panjang.


Kaki Bangkang
Bukan semua perkara perlu dibawa bertengkar. Beralah itu lebih banyak faedahnya daripada bertegang urat, walaupun untuk perkara-perkara kecil. Dan apabila terdapatnya perbezaan pendapat, kedua pihak mahu menang dan merasakan apa yang mereka sokong itu betul. We can always agree to disagree, kita sentiasa boleh memilih untuk bersetuju berbeza pendapat. Benda-benda remeh yang dipanjang-panjangkan akan menyebabkan pasangan tidak dapat memaafkan pihak satu lagi dan ini akan membawa kesan negatif kepada perhubungan.

Nafsu Tidak Seirama
Ini merupakan masalah besar yang selalunya akan menyebabkan perhubungan tidak mampu bertahan atau jika diteruskan akan membuatkan pasangan ini derita berpanjangan. Jika seorang buas, seorang suam-suam kuku, bagaimana hendak melayar bahtera rumahtangga. Pasti si buas berasa tak puas dan si suam kuku terasa dipaksa sentiasa bukan? Jika dua-dua suam-suam sahaja tidak mengapa.


Diriku Adalah Segalanya
Ah si narsisis… dia hanya nampak dirinya dalam semua sudut, semua aspek kehidupan. Pasangannya tidak diendahkan kerana narsisis melihat si dia umpama seorang yang melukut di tepi gantang, tidak penting dan tidak diperlukan. Jika pasangan anda seorang narsisis, perhubungan tentu akan merana kerana dalam perhubungan ini, tiada istilah kita.


Kutuk-Mengutuk
Adoi badan you macam anak gajah,” kata sang suami. “I suka muka yang macam Fattah Amin, apalah nasib dapat you,” kata si isteri. Penghinaan pasangan secara kerap dan berterusan adalah tidak sihat dalam perkahwinan kerana hati si penerima luluh setiap kali dikutuk orang yang disayang. Mungkin ramai yang merasakan ianya hanya gurauan sehingga kutukan itu terkena ke muka sendiri. Penghinaan akan meretakkan perkahwinan yang dibina kerana sedikit demi sedikit hati akan membenci pasangan yang tidak menghargai.


Ruang Kongsi Ditutup Rapat
Komunikasi antara suami isteri itu sangat penting dalam melayari bahtera perkahwinan. Pasangan yang sentiasa menolak dan sentiasa menutup ruang dalam berkongsi perasaan dan pengalaman akan membuat seorang lagi terasa tidak diperlukan lantas menyoal mengapa perlunya dia berada di dalam perhubungan tersebut.


Perkahwinan adalah kontrak antara dua individu untuk meneruskan kehidupan berdua dan membina keluarga bersama. Satu perjalanan yang tidak mudah dan jika dibebankan dengan masalah di atas, berkemungkinan tidak mampu bertahan.

Wednesday, 9 August 2017

Sayang Isteri Tangan-Tangankan?


Nampak gayanya budaya mendera pasangan sedang meresap ke dalam kehidupan kita apabila drama-drama di televisyen dan novel-novel di kedai buku sering memaparkan kebiasaan perbuatan ini. Suami yang tidak berapa sayang isterinya boleh sahaja menunjal-nunjal kepala si isteri, mudah sahaja mengherdik, memukul, menampar, memaki hamun dan sebagainya atas alasan tidak begitu mencintai. Isteri yang tidak suka dengan suami boleh sahaja menghalang si suami dari memasuki bilik kelamin dengan alasan yang sama. Ini bukanlah kebetulan, ini adalah psyche masyarakat kita yang membolehkan perbuatan ini, menghalalkan ianya berlaku. Kisah yang ditatang masyarakat kita seperti filem Ombak Rindu menyaksikan wanita diperlakukan begitu teruk sekali, dirogol, kepala dihentak di mangkuk tandas, dikasari dan akhirnya wanita ini mengagungkan lelaki ini di dalam hidupnya.

Apa mesej yang disampaikan kepada para penonton secara langsung atau tidaknya? Bahawa, wanita perlu menerima segala derita yang hadir dalam hidupnya dengan redha kerana di akhir rancangan, lelaki itu akan berubah dan menyintainya? Namun, adakah realitinya begitu? Atau wanita akhirnya akan didera dan terus dikerjakan sehingga patah tulang belulang, sehingga ranap semangat untuk hidup?


Lelaki itu merupakan pelindung kaum hawa terutamanya jika wanita itu isteri dan anak-anak perempuannya. Wanita akan lembut dengan kasih sayang dan perhatian. Jika lelaki menggunakan kekerasan untuk memerintah kaum wanita, adakah ini boleh diterima masyarakat kita? “Dia tak pernah berkasar sebelum ini. Ini kali pertama”, “Dia bukan orang yang begitu. Dia sudah meminta maaf.”, “Saya yang salah yang buat dia marah”, merupakan alasan-alasan yang sering diberi isteri untuk membenarkan perkara ini berlaku.

Ciri-ciri penderaan fizikal dan mental di dalam perkahwinan perlu diberi perhatian dan dikenalpasti oleh setiap pasangan kerana ini akan membentuk kualiti perhubungan yang memudharatkan. Semuanya bermula dengan kawalan yang berlebihan, cemburu yang membuta. Kemudian, diikuti dengan amaran-amaran untuk mencederakan sekiranya perkara yang tidak digemari dilakukan pasangan. Dan kemuncaknya ialah penderaan fizikal yang berlaku di balik dinding, jauh dari mata awam dan keluarga. Wanita yang mengalami penderaan sebegini sukar untuk dipulihkan dan impaknya akan terlihat dengan cara beliau mengendalikan diri sendiri dan membesarkan anak-anak yang satu hari nanti mungkin akan memulakan pusaran perangai ini kerana apa yang mereka lihat itu ialah kebiasaan.


Drama-drama yang menampilkan adegan suami-suami begini perlu dikekang supaya masyarakat atau anak-anak kecil yang menonton tv bersama tidak menganggap perkara ini perkara biasa. Jadi apa salahnya jika kita tidak suka pasangan kita dan kita pukul kepala dia? Jadi apa salahnya saya baling barang ke pasangan saya kerana saya tidak begitu cinta kepadanya? Jawapannya: Semuanya adalah SALAH! Kita tidak boleh bertolak ansur dengan penderaan fizikal atau mental. Kita tidak boleh mengganggap ini perkara kecil yang tidak mungkin berulang.

Pendera bermula secara kecil-kecilan dan akhirnya mampu membuat mangsa dera hilang nyawa dengan amarah pendera yang membuak. Wanita perlu sedar betapa bahayanya membiasakan diri dengan apa juga bentuk penderaan. Pendera merupakan mereka yang berkemahiran tinggi dalam seni memujuk. “Abang minta maaf zah, abang tak buat lagi,“ sedangkan yang biru lebam itu mata isterinya. “Kembalilah kepada abang dan keluarga kerana abang tak sengaja,” walhal ini kali ke 23 perut isteri ditumbuk padu oleh si suami celaka.

Utusan Online melaporkan sebanyak 57,519 kes penderaan wanita dilaporkan sepanjang 2010 sehingga Mac 2017 dan 40% daripada angka ini merupakan keganasan rumahtangga yang melibatkan wanita sebagai mangsa. Statistik Polis Di-Raja Malaysia mencatatkan 62,670 kes dari tahun 2000 dan 53% daripada mangsa berketurunan Melayu, diikuti 22% bangsa India, 14% bangsa Cina dan selebihnya wanita berbangsa lain-lain.

Sila sedar bila tompok-tompok penderaan ini mula muncul dalam kehidupan, dan kawal keadaan dengan tidak membiarkan pendera biasa dengan perangainya. Mari kita bermula dengan tidak menonton drama-drama atau filem yang menormalisasikan penderaan wanita, dan laporkan kejadian penderaan ke pihak polis atau mangsa boleh menelefon talian Nur 15999 untuk memperoleh bantuan. #sayNOtoderasis!

Sunday, 16 July 2017

Kerana Mulut Hati Binasa

Oleh YouGoPop

Perkara ini kerap dilakukan kaum wanita di bawah sedar tetapi sangat membinasakan perhubungan. Untuk wanita yang sudah berumahtangga kena lebih awas dengan sifat ini. Elakkan daripada mengamalkannya kerana ianya tidak membawa sebarang kebaikan kepada perhubungan.

Wanita sering menuduh dan tidak perasan yang mereka melakukannya. Penggunaan perkataan “tak pernah”, “selalu”, “memang”, antara yang sangat bahaya akan tetapi selalu sangat digunakan oleh kaum Hawa untuk membantai pasangannya.



Katalah hati sakit kerana dia tidak melakukan sesuatu yang anda inginkan. Dialog atau tuduhan yang akan keluar ialah “You tak pernah care pasal I!” atau “Abang tak pernah nak buat apa-apa untuk saya!”. Lantas, hati si lelaki tadi akan berdarah kerana tak mungkin aku tak pernah melakukan apa-apa untukmu, sayangku. Kenapa kau menuduh aku sebegitu teruk sekali? Adakah aku ini tak berguna langsung?, itu yang difikir lelaki yang dituduh kamu.

Atau “You selalu berperangai macam ni.” Ouch! “Abang selalu buat tak endah apa yang saya suruh!”. Dan apabila perasaan marah memuncak “You memang tak sayang I!!!! Atau “Abang memang tak hiraukan saya!!!” Ouch! Ouch! Ouch! Lelehan darah di hati para lelaki semakin mengalir dirobek oleh kekasihnya itu.

Untuk mengekalkan perhubungan, elakkan daripada menggunakan perkataan-perkataan general yang sebegini. Tidak adil untuk si dia. Gunakan perkataan-perkataan yang positif dan sekiranya anda ingin tekankan tentang sesuatu topik, gunakan topik itu sahaja, jangan di’am’kan tujuan anda. “You tak sms I pun tadi masa lunch. Next time smslah, ok.” Adalah lebih baik daripada “You tak pernah care pasal I, tak sms pun!”.



“Abang lupa beli magazine yang saya kirim tadi” adalah lebih baik daripada “Abang tak pernah nak buat apa-apa untuk saya”. Atau “Abang tak buang sampah yang saya suruh tadi. Nanti berbau lah rumah” adalah lebih baik daripada “Saya sorang je buat kerja kat rumah ni, suruh tolong sikit pun tak boleh!” Gunakan peristiwa yang spesifik dan jangan hentam general terhadap semua aduan yang ingin anda buat.

Satu lagi yang perlu dielakkan ialah menuduh perkara yang belum terjadi. Contohnya suami anda berpakaian kemas dan bergaya kerana hari ini dia ada meeting dengan important client. Melihat kelainannya pada hari ini anda terus mengeluarkan komen, “Nak pergi jumpa girlfriend ke pakai bukan main smart ni?” Lelaki tidak gemar komen-komen sinis begini. Kalau kita pun kena sindir pagi-pagi, sakit hati juga. Dan perlu diingat, cakap banyak-banyak kali jadi doa.

Jadi janganlah doakan dia ada girlfriend ye. Daripada cakap ayat itu, mulakan pagi dengan “Amboi… handsomenya suami saya ni. Bertuah sungguh dapat husband kacak bergaya” atau “Masih kacak lagi husband I ni, teruja tengok.” Bukan sahaja dia akan gembira, anda juga akan dapat perasaan positif itu.

Kalau suami balik lambat sikit dan telefon anda untuk memberitahu, janganlah jawab begini “Alah…. Orang lain takde lah kerja sampai lewat macam abang, entah-entah pergi ke mana..” sedih suami mendengar kerana kerja kuat pun dikutuk isteri. Hati nak balik rumah pun jadi hambar. Adalah lebih baik kalau dijawab begini “Ye ke? Kesian suami mama kerja kuat. Lepas kerja terus balik ye. Rindulah.”

Suami mana yang tak nak bergegas balik jumpa anak isteri? Tuduhan begini tidak mendatangkan kebaikan kepada perhubungan. Kita pun tidak suka dituduh yang bukan-bukan. Katalah kita shopping balik lambat sikit dan sampai sahaja di muka pintu suami menyindir “Amboi lamanya pergi shopping. Pergi shopping ke pergi jumpa boyfriend ni?”. Berdesing juga telinga. Dahlah penat membeli barang, kena tuduh lagi. Begitulah juga perasaan mereka apabila dituduh membabi buta.

Apabila berbicara, gunakan perkataan-perkataan positif. Daripada hantar mesej “Abang ni tak ingat sayalah!” adalah lebih baik menghantar “Saya rindu Abang.” Perkataan yang baik-baik akan menghasilkan reaksi yang baik-baik. Jangan impikan reaksi yang cintan cintun romantis apabila perkataan yang anda gunakan bagaikan sudah sedia untuk berbalah. Mulakan hari baru anda dengan azam untuk menjaga tutur kata dalam perhubungan agar ikatan lebih mesra dan berpanjangan.

* Kredit gambar: Unsplash