Showing posts with label masalah perhubungan. Show all posts
Showing posts with label masalah perhubungan. Show all posts
Thursday, 23 November 2017
Masih Setia Dengan Si Dia Walaupun Sudah Tiada Rasa?
Oleh YouGoPop
Cetusan chemistry, mabuk cinta dan perasaan asyik memang lazim bagi mereka yang baru melanglah ke alam percintaan. Segalanya tentang pasangan anda indah belaka. Kekurangan si dia tentu sekali tidak ada kerana cinta itu buta. Apabila melihat dia, anda ceria dan jika dia tiada anda berduka.
Namun begitu, bagaimana pula dengan pasangan yang sudah bertahun-tahun bercinta tetapi masih belum berumahtangga? Adakah perasaan-perasaan indah ini masih wujud atau anda sudah semakin nampak kecacatan pasangan anda? Ada juga mereka yang sudah benci dengan perangai si dia tetapi tidak tahu bagaimana untuk menamatkan hubungan yang sudah menjangkau ulangtahun jubli perak.
Di saat ini apabila melihat si dia anda rasa biasa, jika dia tiada, ada terasa sedikit suka. Disebabkan sudah begitu lama mengenali antara satu sama lain dengan tiada ikatan yang sah, anda meneruskan sahaja perhubungan walaupun semuanya sudah hambar, sudah tiada rasa lagi.
Ramai pasangan yang terjerat di dalam situasi ini dan tidak tahu bagaimana untuk melepaskan diri. Walaupun hati sudah tidak cinta atas alasan alang-alang dah lama bersama, ku teruskan sahaja dan akan ku tempuh segala buruk baik yang mendatang.
Disebabkan perkara ini juga, orang-orang tua sering ingin mempercepatkan perkahwinan apabila si teruna dan dara sudah mula memadu asmara kerana mereka tahu apa akibatnya apabila bercinta kosong lama-lama. Mereka makan garam dulu dari kita dan mereka sudah arif tentang perhubungan Uda dan Dara.
Mula-mula bercinta, berjumpa itu indah; lama kelamaan, sudah tidak tahu ke mana arah tuju, semuanya jadi biasa dan masing-masing meneruskan perhubungan kerana terpaksa. Satu lagi sebab ialah mereka takut apabila sudah lama bercinta, banyak territory larangan yang akan dijelajahi pasangan ini.
Pasangan hambar begini tidak harus meneruskan perhubungan atas alasan sudah lama bercinta kerana apabila mereka mengambil keputusan untuk berumahtangga, adalah sukar untuk mengukir bahagia. Perkahwinan seharusnya dibina atas dasar kasih sayang, hormat menghormati dan rasa cinta yang tidak berbelah bagi.
Apabila pasangan sudah mula bosan antara satu sama lain, bagaimana untuk meneruskan perkahwinan yang sepatutnya kekal sehingga ke akhir hayat. Hati-hati yang hambar ini akan senang teruja apabila ada insan-insan baru yang menunjukkan minat untuk mengenali mereka dengan lebih dekat lagi.
Lantas, ada yang mengadakan affair di luar sana walaupun sudah ada suami dan isteri kerana dengan pasangan baru perasaan indahnya percintaan akan muncul semula. Oleh kerana itu, sering kita dengar pasangan yang sudah bertahun-tahun bercinta bercerai hanya selepas sebentar berumahtangga.
Untuk pasangan yang sudah lama bercinta dan merasakan antara kamu berdua sudah tiada rasa, cubalah hidupkan kembali bibit-bibit cinta dan nilai kembali sejauh mana rasa cinta kamu berdua terhadap satu sama lain. Jangan jadikan tempoh percintaan sebagai beban yang terpaksa ditanggung walaupun hatimu sudah tawar untuk si pasangan dan mata anda sering meninjau-ninjau prospek baru yang berdekatan.
Jujurlah kepada hati sendiri kerana jika tidak, anda hanya akan mengecewakan diri anda dan juga dirinya, dan sekiranya anda memilih untuk mendirikan mahligai perkahwinan dengan si dia, anda juga akan melibatkan keluarga dan ibubapa kamu berdua.
Rasa dalam bercinta itu penting kerana ia merupakan talian kasih antara kau dan si dia. Jangan tidak diambil indah perihal rasa, buruk padahnya nanti. Di zaman dahulu, walaupun banyak perkahwinan yang diatur keluarga, ianya kekal lama kerana pasangan bercinta dan mengenali satu sama lain selepas berumahtangga.
Namun di zaman ini terbalik ceritanya dan apabila sudah mengenali satu sama lain dengan begitu lama tanpa ikatan perkahwinan, sukar untuk melayari bahtera rumahtangga apabila rasa telah tiada. Sebagai nasihat, apabila sudah suka janganlah bercinta lama-lama. Jangan bercinta kosong tanpa tujuan, tidak baik untuk masa depan.
Gambar: Shelby Deeter di Unsplash
Sunday, 3 September 2017
Bicara Duit Mengerikan Bagi Pasangan: Elak Buat 8 Perkara Ini
Antara masalah besar pasangan yang telah berumahtangga ialah duit atau lebih tepat lagi masalah kekurangan duit. Jangan terperanjat kalau diberitahu bahawa 70% pasangan mungkin menghadapi masalah ini dan sebab utamanya ialah kerana perihal duit atau kewangan ini sensitif dan tidak selalu dibincangkan secara terbuka. Ramai yang suka sumbat masalah kewangan di bawah permaidani dan berpura-pura bahawa masalah ini tidak wujud. Apabila masalah kewangan ini tidak dapat dibendung lagi, lantas ianya akan menyebabkan perhubungan menjadi tegang dan sukar untuk diurus kerana kebanyakan pasangan tidak memiliki kemahiran untuk membicarakan tentang duit. Sebaik-baiknya bab kewangan dan cara menguruskan perlu diatasi di awal perhubungan agar kedua pasangan jelas yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam kisah mengurus duit keluarga.
YouGoPop memberi saranan agar pasangan di luar sana mengelak dari melakukan 8 perkara di bawah ini untuk tidak menjadikan masalah kewangan sebagai penyebab rosaknya perhubungan.
Pentingkan Duit Daripada Perhubungan
“Bang, si polan tu kan... kaya gila..Apa wife dia nak pun dapat,” kata si isteri kepada suaminya. Tanpa disedari hati suami pecah seribu mendengar ayat tersebut kerana seolah si isteri tadi mengejek kebolehannya menyediakan duit yang banyak untuk dibelanja tanpa risau, sedangkan dia dah memberikan secukupnya walaupun tidak mewah. Isteri sekarang suka tag-tag suami beg-beg mahal berjenama sedangkan dia jelas yang suami beliau tidak akan mampu mengumpul duit sebanyak itu untuk menghadiahkannya barangan berjenama itu tadi. “Duit saya, saya punya, cannot share-share” herdik si isteri pula walaupun dalam keadaan suaminya sedang mengalami krisis ekonomi. Ketika pasangan mengangkat duit lebih berharga daripada perhubungan, akibatnya tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.
Sembunyikan Hutang atau Pembelian
Jangan buat-buat pandang ke atas ye… ramai kita yang melakukannya. Perkara ini sering terjadi dan semakin berleluasa di masa kini kerana wujudnya shopping di atas talian. Hanya lengkapkan satu dua langkah, esok lusa barang sampai ke pejabat. Pasangan tak perlu tahu berapa duit yang telah gunakan atau apakah item yang telah dibeli; yang penting nafsu berbelanja dapat dilempias. Sikap berbelanja kurang berhemah ini akan menyebabkan ekonomi keluarga terbeban walaupun pasangan tidak mengetahuinya kerana akhirnya baki akaun akan menyusut atau beban hutang semakin bertambah.
Tidak Berbincang Sebelum Membeli
“Yang.. abang dah beli PS4!! Woo hoo!!,” gembiranya suami menyampaikan berita sedangkan berita ini membuat isteri berduka kerana bukan sahaja duit telah dibelanjakan tetapi duit tersebut perlu digunakan untuk tujuan yang lebih penting seperti cukai jalan yang akan sampai di hujung bulan yang sama. “Abang... cantikkan sofa baru kita, “ isteri teruja memberi kejutan kepada suami yang memang terkejut biru sebab dia tahu mereka belum mampu untuk membeli sofa bernilai RM5 ribu itu. Atau suami membeli tiket kapalterbang ke luar negara dan kemudian meminta isteri menyediakan duit hotel dan belanja. Semuanya akan menjadi lebih baik dan teratur jika dibincangkan bersama sebelum apa-apa perbelanjaan besar dimuktamadkan.
Tidak Endah Perihal Butiran
Pasangan perlu tahu ke mana duit mereka pergi kerana dengan mengetahui fakta ini, duit boleh diurus dengan lebih teratur dan bermanfaat. Tiba-tiba kita sudah short walaupun masih berada di minggu ketiga dan seluruh keluarga diminta betul-betul berjimat di minggu terakhir kerana bajet seluruh bulan telah digunakan dengan banyak di minggu pertama dan kedua. Nak makan steak mahal, jom! Nak pergi bercuti di resort best di Port Dickson, jom! Kawan-kawan minta belanja, jom! Akhirnya duit berkurangan tanpa kita tahu ke mana duit kita melayang, dan akhirnya keluarga dan pasangan yang akan menderita.
Terlalu Mengawal Pengaliran Wang
Boros itu ternyata tidak baik tetapi terlalu mengawal penggunaan duit juga membahayakan. Pasangan yang terlalu mengawal duit sampaikan tidak ada ruang untuk menikmati pendapatan yang diterima pasti mampu membuatkan pasangan beliau tertekan. “Nak beli baju sampai RM79? Dah, tak payah.. Cari yang bawah RM50 sudah.” “Tak perlulah minum kopi mahal ni, saya buatkan kopi di rumah sahaja.” Ada juga isteri yang hanya beri suami duit poket tetap RM15 sehari ke tempat kerja atas alasan takut suami boros. Kedekut juga ada kesannya! Setiap insan yang bekerja itu ada sebabnya dan biarlah kita menikmati pendapatan kita tetapi jangan berlebihan.
Menggunakan Duit untuk Menyakiti Pasangan
“Amboi, dahlah pokai… lagi nak keluar makan dengan kawan-kawan? You ni memang tak sedar diri ke?,” isteri memerli suami, “Kalau bukan guna duit saya, takkan kita senang macam ni, “ suami pula menyakitkan hati isteri. Menggunakan hal duit untuk menyakitkan hati pasangan adalah satu perbuatan yang keji. Alangkah elok kalau berbincang agar masing-masing tahu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan apabila duit telah dibelanjakan untuk sesuatu perkara, mengungkit itu elakkan.
Tidak Memahami Perspektif Pasangan Tentang Pengurusan Duit
Ada mereka yang hidup susah dari kecil lantas apabila ada pendapatan yang baik, mereka lebih cermat membelanjakannya agar tidak lagi terjerumus ke kehidupan yang lepas. Ada juga yang memang dilahirkan dengan sudu perak disuap ke mulut dan merasakan nilai RM100 itu seperti RM10 sahaja dan berbelanja tanpa berkira. Ada juga yang sudah tidak mahu bersusah lagi dalam hidup dan berbelanja sesuka hati dengan pendapatan tinggi yang diterima hari ini tanpa memikirkan masa depan. Dengan mengenali dan memahami sudut pandangan pasangan berkaitan duit, anda akan lebih tahu bagaimana menguruskan kewangan pasangan dengan baik.
Berbincang Tentang Duit Ketika Sedang Tegang
Sila periksa keadaan hati masing-masing sebelum ingin memulakan perbincangan tentang duit. Janganlah dilakukan ketika tengah marah kerana hasilnya sudah tentu akan mengerikan. Kekurangan duit ini boleh menjadi hinaan ketika sedang panas hati. “Dahla tak hensem, pokai pulak!,” tak ke terbakar hati suami mendengar ayat ini dan tentu sekali perbincangan akan bertukar menjadi pertengkaran. “You tak habis-habis beli makeup, minggu ni je dah seribu! Muka cam tu je lagi!, “ dan pertengkaran akan hangat kalau masing-masing mempunyai banyak peluru untuk digunakan.
Secara ringkasnya, pasangan perlu bersama-sama menetapkan peraturan dan sempadan bila berurusan dengan kewangan keluarga, contohnya jangan berbelanja lebih daripada RM1000 untuk diri sendiri sebulan. Untuk pembelian lebih daripada sesuatu jumlah, persetujuan pasangan diperlukan. Hasilkan tabung-tabung yang perlu diisi untuk bercuti, pendidikan anak-anak, bantuan ibu bapa dan sebagainya. Kedua-dua pasangan perlu jelas dengan tanggungjawab masing-masing dan sedaya upaya ikut peraturan supaya keharmonian dapat dikekalkan walaupun adanya Zalora, FashionValet, Lazada dan sebagainya di luar sana.
Monday, 28 August 2017
Retak Menanti Belah: 7 Masalah Perhubungan Yang Sukar Dipulihkan
Perkahwinan memerlukan lebih daripada perasaan cinta untuk berjaya kerana apabila dua individu sudah hidup bersama, cabaran yang dihadapi mereka tidak sama ketika mereka sedang bercinta. Apabila kita merelakan individu lain untuk hidup bersama dan berkongsi segalanya, suka dan duka, pelbagai hal boleh berlaku yang akan menyebabkan kita rasa sudah tidak serasi bersama, dan akhirnya mencari jalan keluar. Pilihan untuk berpisah adalah pilihan yang sangat sukar lebih-lebih lagi bila pasangan sudah bercahayamata. Namun untuk meneruskan hidup bersama itu lebih menyeksakan dua jiwa. Sebelum berlakunya retak menanti belah dalam perkahwinan, kenali 6 masalah perhubungan yang sukar dipulihkan dan elakkan daripada terjerumus ke dalamnya.
Curang Bersiri
Kecurangan bukan satu masalah yang unik dalam perkahwinan. Ramai pasangan yang telah berumahtangga pernah membuat perhubungan dengan orang lain tetapi bukan semua kes akan melibatkan penceraian atau ketidakbahagiaan. Selalunya pasangan akan memberi peluang sekali atau dua kali untuk si dia bertukar menjadi setia dan tidak mengulangi perbuatan itu. Masalah kronik timbul apabila kecurangan ini dilakukan berkali-kali tanpa sedar diri atau ada ciri-ciri untuk kembali ke pangkal jalan kerana hati pasangan yang sering dipecahkan selalunya memang tidak akan dapat bertahan lama.
Penipu Tegar
Mempunyai pasangan yang tidak jujur ini menimbulkan banyak prasangka dalam perhubungan. Tiba-tiba dia hilang dari rumah dan tidak tahu mana perginya. Bila ditanya dia akan berdolak-dalih dan tiada bukti sahih di mana dia berada. Kerahsiaan ini menyulitkan perhubungan kerana dalam hati pasangan terdetik, apakah perkara yang dia sembunyikan, adakah dia seorang yang curang, dan ini akan merosakkan perhubungan dalam jangkamasa panjang.
Kaki Bangkang
Bukan semua perkara perlu dibawa bertengkar. Beralah itu lebih banyak faedahnya daripada bertegang urat, walaupun untuk perkara-perkara kecil. Dan apabila terdapatnya perbezaan pendapat, kedua pihak mahu menang dan merasakan apa yang mereka sokong itu betul. We can always agree to disagree, kita sentiasa boleh memilih untuk bersetuju berbeza pendapat. Benda-benda remeh yang dipanjang-panjangkan akan menyebabkan pasangan tidak dapat memaafkan pihak satu lagi dan ini akan membawa kesan negatif kepada perhubungan.
Nafsu Tidak Seirama
Ini merupakan masalah besar yang selalunya akan menyebabkan perhubungan tidak mampu bertahan atau jika diteruskan akan membuatkan pasangan ini derita berpanjangan. Jika seorang buas, seorang suam-suam kuku, bagaimana hendak melayar bahtera rumahtangga. Pasti si buas berasa tak puas dan si suam kuku terasa dipaksa sentiasa bukan? Jika dua-dua suam-suam sahaja tidak mengapa.
Diriku Adalah Segalanya
Ah si narsisis… dia hanya nampak dirinya dalam semua sudut, semua aspek kehidupan. Pasangannya tidak diendahkan kerana narsisis melihat si dia umpama seorang yang melukut di tepi gantang, tidak penting dan tidak diperlukan. Jika pasangan anda seorang narsisis, perhubungan tentu akan merana kerana dalam perhubungan ini, tiada istilah kita.
Kutuk-Mengutuk
“Adoi badan you macam anak gajah,” kata sang suami. “I suka muka yang macam Fattah Amin, apalah nasib dapat you,” kata si isteri. Penghinaan pasangan secara kerap dan berterusan adalah tidak sihat dalam perkahwinan kerana hati si penerima luluh setiap kali dikutuk orang yang disayang. Mungkin ramai yang merasakan ianya hanya gurauan sehingga kutukan itu terkena ke muka sendiri. Penghinaan akan meretakkan perkahwinan yang dibina kerana sedikit demi sedikit hati akan membenci pasangan yang tidak menghargai.
Ruang Kongsi Ditutup Rapat
Komunikasi antara suami isteri itu sangat penting dalam melayari bahtera perkahwinan. Pasangan yang sentiasa menolak dan sentiasa menutup ruang dalam berkongsi perasaan dan pengalaman akan membuat seorang lagi terasa tidak diperlukan lantas menyoal mengapa perlunya dia berada di dalam perhubungan tersebut.
Perkahwinan adalah kontrak antara dua individu untuk meneruskan kehidupan berdua dan membina keluarga bersama. Satu perjalanan yang tidak mudah dan jika dibebankan dengan masalah di atas, berkemungkinan tidak mampu bertahan.
Subscribe to:
Posts (Atom)


