Showing posts with label Wanita. Show all posts
Showing posts with label Wanita. Show all posts

Monday, 14 August 2017

Menulis Diari di Media Sosial: Mencari Bahagia atau Mengundang Bencana?



Dear Media Sosial,


Hati ini meronta-ronta mendambakan bahagia tapi apakan daya aku ini hanya manusia biasa. Ya Allah, Kau tunjukkanlah jalan agar aku temui apa yang dicari kerana hakikatnya aku ini seorang insan lemah.

Katanya… Mesej ini tidak ditujukan kepada siapa-siapa, sekadar bait-bait kata. Lantas apabila “kawan-kawan” dalam media sosial membaca coretan tulisan yang menjurus kepada masalah perhubungan, komen-komen pun muncul dari pelbagai arah memberikan pendapat. Maka, si pengadu tadi tersenyum sendiri kerana luahan hatinya mendapat perhatian daripada insan di luar sana. Ternyata ada lagi orang yang sayang, ramai lagi yang ambil kisah, orang keliling masih peduli.  Namun hakikatnya, apabila masalah perhubungan dipaparkan di media sosial, adakah masalah itu dapat diselesaikan atau masalah itu mekar bak bunga kiambang yang segar bugar? Dan dalam banyak-banyak nasihat yang diberi oleh rakan-rakan yang meninggalkan komen, memang ada nasihat yang  baik, dan tidak kurang juga banyak yang memudharatkan.

Jadi apakah tanggungjawab kita sebagai suami dan isteri di dalam perhubungan dan bagaimana kita perlu mengelak daripada memberi gambaran bahawa bahtera perhubungan kita sedang dipukul badai kerana para netizen yang secara amnya merupakan golongan yang peka menilik akaun media sosial orang lain. Bait-bait kata yang kita tuliskan selalunya penuh dengan kekunci perasaan yang mampu diterjemahkan orang lain. Dan lagi parah masalahnya kalau bahtera perhubungan kita tidak bergelora dan orang luar meneka-neka lantas mengharapkan akan drama akan bermula.

Fokus Kepada Bahagia
Apa yang kita lakukan setiap hari membentuk minda dan penampilan kita. Andai bahagia itu sasarannya, fokus untuk menjadi bahagia dengan menulis dan berkongsi kisah-kisah gembira. Kita tidak akan tersenyum jika pos-pos kita bercerita tentang kerumitan, tekanan, masalah dan sebagainya. Cuba kita cari posting-posting yang positif dan bermesejkan bahagia seperti “Cinta dan Rindu ini hanya untuk Suamiku Seorang”, “Ku janjikan kesetiaan sehingga hayat di kandung badan, sayangku”, “Walaupun ramai lelaki sado, abang juo yang sado di hatiku ini..”, “Biar pun Afifah dapat merapat, Aku hanya sudi karaoke dengan isteriku sahaja.” Kalau pasangan kita baca, tentu sekali tersenyum dan kembang dada. Kita boleh mencari bahagia dengan berusaha ke arah itu. Jika hari-hari ditasak dengan mesej derita ditambah dengan komen-komen penambah rasa… bukan sahaja derita yang tiba, porak peranda pun digamit sama.

Jangan Banding-Banding Hidup Kita
Apa yang kita saksikan di media sosial itu banyaknya lakonan semata kerana semua orang mahu kehidupannya dilihat dari sudut yang bercahaya. Hidup orang lain sentiasa akan lebih sempurna di mata kita. Bak kata Mat Salleh, the grass is always greener on the other side. Carilah rumput hijau itu di laman sendiri. Sebagai contohnya, jika kita lihat suami si polan sado dan suami kita sedih… kita bagi suami kita semangat untuk kelihatan lebih segak. Mana tahu dengan taktik kita, dengan kita-kita sekali bersama segak, sado dan cantik. Jika kita lihat suami orang belikan dia hadiah yang best-best, berjenama, janganlah kita bersedih, fokus kepada benda-benda baik yang pasangan kita lakukan pada kita. Abang tak dapat bagi ayang bag mahal, abang tolong ayang basuh baju tiap jumaat pun jadi lah. Kira kalau upah basuh tu RM25 seminggu, setahun abang invest RM1200 lah bak katanya.  Jika kita sering mengkritik pasangan dengan melihat kepada keburukan dia, sesekali kita buat senarai itu untuk diri kita sendiri kerana kita juga tak lepas daripada kelemahan yang pasangan kita terpaksa bertolak ansur. Jangan syok sendiri dan ingat diri kita ini selalu sempurna.

Berfikir Sebelum Pos
Kalau menulis di masa-masa media sosial ketika geram,  laju betul menekan butang post supaya dapat dikongsi geram di hati. Apa kata kita tarik nafas dan berfikir secara waras sebelum berkongsi kisah rumahtangga dengan strangers di media sosial. Mereka ini tidak faham, mereka hanya pemerhati yang tidak tahu butiran tentang kehidupan kita atau perhubungan. Adalah lebih baik jika nasihat itu diminta dari mereka yang berpengalaman seperti ibu ayah, adik-beradik dan kawan yang benar-benar rapat agar kekusutan dapat dilerai bagai menarik rambut di dalam tepung. Jangan kerana amarah sedetik, kita membawa masalah perhubungan kita jauh ke lembah kemusnahan.

Kesan Kepada Persekitaran
Masalah perhubungan selalunya melibatkan ramai pihak tanpa kita sedari, lebih-lebih bila kita sudah berumahtangga. Keluarga kedua belah pihak dan anak-anak perlu diambil kira sebelum kita memaparkan konflik perhubungan kita di media sosial. Kita rasa kita berhak meluahkan perasaan, mana tahu ibu mertua sedang membaca sambil menitiskan airmata. Kita rasa kita boleh bercakap apa saja kerana ini akaun kita, tiba-tiba ada mata kecil yang menatap coretan kita lantas merasakan kehidupan mereka akan ditimpa bencana. Jangan kerana kita rasa meluah rasa di media sosial ini perkara biasa, kita lakukan tanpa ada pertimbangan kepada persekitaran kita.

Kita boleh mengubah kehidupan kita dengan minda yang sihat dan perbuatan yang rasional. Berkongsi atau memberi hint yang kita tidak bahagia di media sosial hanya akan mengundang bencana. Carilah saluran yang lebih sihat untuk kita meluahkan isi hati yang terpendam dan adalah lebih baik jika kita berbincang dengan pasangan untuk kehidupan yang lebih bahagia.

Wednesday, 9 August 2017

Sayang Isteri Tangan-Tangankan?


Nampak gayanya budaya mendera pasangan sedang meresap ke dalam kehidupan kita apabila drama-drama di televisyen dan novel-novel di kedai buku sering memaparkan kebiasaan perbuatan ini. Suami yang tidak berapa sayang isterinya boleh sahaja menunjal-nunjal kepala si isteri, mudah sahaja mengherdik, memukul, menampar, memaki hamun dan sebagainya atas alasan tidak begitu mencintai. Isteri yang tidak suka dengan suami boleh sahaja menghalang si suami dari memasuki bilik kelamin dengan alasan yang sama. Ini bukanlah kebetulan, ini adalah psyche masyarakat kita yang membolehkan perbuatan ini, menghalalkan ianya berlaku. Kisah yang ditatang masyarakat kita seperti filem Ombak Rindu menyaksikan wanita diperlakukan begitu teruk sekali, dirogol, kepala dihentak di mangkuk tandas, dikasari dan akhirnya wanita ini mengagungkan lelaki ini di dalam hidupnya.

Apa mesej yang disampaikan kepada para penonton secara langsung atau tidaknya? Bahawa, wanita perlu menerima segala derita yang hadir dalam hidupnya dengan redha kerana di akhir rancangan, lelaki itu akan berubah dan menyintainya? Namun, adakah realitinya begitu? Atau wanita akhirnya akan didera dan terus dikerjakan sehingga patah tulang belulang, sehingga ranap semangat untuk hidup?


Lelaki itu merupakan pelindung kaum hawa terutamanya jika wanita itu isteri dan anak-anak perempuannya. Wanita akan lembut dengan kasih sayang dan perhatian. Jika lelaki menggunakan kekerasan untuk memerintah kaum wanita, adakah ini boleh diterima masyarakat kita? “Dia tak pernah berkasar sebelum ini. Ini kali pertama”, “Dia bukan orang yang begitu. Dia sudah meminta maaf.”, “Saya yang salah yang buat dia marah”, merupakan alasan-alasan yang sering diberi isteri untuk membenarkan perkara ini berlaku.

Ciri-ciri penderaan fizikal dan mental di dalam perkahwinan perlu diberi perhatian dan dikenalpasti oleh setiap pasangan kerana ini akan membentuk kualiti perhubungan yang memudharatkan. Semuanya bermula dengan kawalan yang berlebihan, cemburu yang membuta. Kemudian, diikuti dengan amaran-amaran untuk mencederakan sekiranya perkara yang tidak digemari dilakukan pasangan. Dan kemuncaknya ialah penderaan fizikal yang berlaku di balik dinding, jauh dari mata awam dan keluarga. Wanita yang mengalami penderaan sebegini sukar untuk dipulihkan dan impaknya akan terlihat dengan cara beliau mengendalikan diri sendiri dan membesarkan anak-anak yang satu hari nanti mungkin akan memulakan pusaran perangai ini kerana apa yang mereka lihat itu ialah kebiasaan.


Drama-drama yang menampilkan adegan suami-suami begini perlu dikekang supaya masyarakat atau anak-anak kecil yang menonton tv bersama tidak menganggap perkara ini perkara biasa. Jadi apa salahnya jika kita tidak suka pasangan kita dan kita pukul kepala dia? Jadi apa salahnya saya baling barang ke pasangan saya kerana saya tidak begitu cinta kepadanya? Jawapannya: Semuanya adalah SALAH! Kita tidak boleh bertolak ansur dengan penderaan fizikal atau mental. Kita tidak boleh mengganggap ini perkara kecil yang tidak mungkin berulang.

Pendera bermula secara kecil-kecilan dan akhirnya mampu membuat mangsa dera hilang nyawa dengan amarah pendera yang membuak. Wanita perlu sedar betapa bahayanya membiasakan diri dengan apa juga bentuk penderaan. Pendera merupakan mereka yang berkemahiran tinggi dalam seni memujuk. “Abang minta maaf zah, abang tak buat lagi,“ sedangkan yang biru lebam itu mata isterinya. “Kembalilah kepada abang dan keluarga kerana abang tak sengaja,” walhal ini kali ke 23 perut isteri ditumbuk padu oleh si suami celaka.

Utusan Online melaporkan sebanyak 57,519 kes penderaan wanita dilaporkan sepanjang 2010 sehingga Mac 2017 dan 40% daripada angka ini merupakan keganasan rumahtangga yang melibatkan wanita sebagai mangsa. Statistik Polis Di-Raja Malaysia mencatatkan 62,670 kes dari tahun 2000 dan 53% daripada mangsa berketurunan Melayu, diikuti 22% bangsa India, 14% bangsa Cina dan selebihnya wanita berbangsa lain-lain.

Sila sedar bila tompok-tompok penderaan ini mula muncul dalam kehidupan, dan kawal keadaan dengan tidak membiarkan pendera biasa dengan perangainya. Mari kita bermula dengan tidak menonton drama-drama atau filem yang menormalisasikan penderaan wanita, dan laporkan kejadian penderaan ke pihak polis atau mangsa boleh menelefon talian Nur 15999 untuk memperoleh bantuan. #sayNOtoderasis!

Thursday, 3 August 2017

Wanita Gemar Bermusuh Dengan Wanita Lain?


Wanita gemar bermusuh dengan wanita lain. Kalau orang lelaki ada sentimen brotherhood, bro-bro, jarang kongsi cerita-cerita dengan kawan-kawan mereka, orang perempuan pula lebih suka menuding jari dan memarahi kaum sendiri jika terdapat isu-isu panas membara.


Sebelum anda emosi dan mengecam artikel ini, tarik nafas dan baca bahan bukti yang dipaparkan.


Dalam insiden seorang wanita dalam pantang yang mencari suaminya yang sedang berkaraoke dengan seorang wanita yang lain, siapa yang orang wanita pertama sekali persalahkan? Tentulah si teman wanita itu tadi. Walaupun si lelaki itu memang tak guna, wanita kurang membambu si lelaki berbanding si teman wanitanya. Berdas-das kutukan dan kritikan dilepaskan ke arah wanita yang satu lagi itu. Kemudiannya, bila plot semakin menebal, si kakak pula tergerak untuk membuat kenyataan yang sekali lagi menyalahkan wanita juga. Bukan setakat menyalahkan si isteri ini, malah mempersendakan masalah real  yang dihadapi wanita selepas bersalin tanpa rasa bersalah. Dan kemuncaknya, keseluruhan wanita bersekongkol dan memarahi kakak wanita kedua tadi, lantas menukar sasaran kutukan kepada si kakak pula. Hello,  di manakah sisterhood kita? What happened to us girlfriends? Bertepuk sebelah tangan tidak menjadi... kalau lelaki itu tidak gatal, masakan wanita menawar diri?


Ini bukan kes terpencil, kisah-kisah lama juga mencetus reaksi yang sama dari kaum hawa yang secara lajunya akan menyalahkan kaum sejenis mereka. Habislah di ‘betina’kan wanita yang tidak digemari tadi, dan perkataan-perkataan yang tidak sopan untuk disebut di sini akan dihamburkan. Lelaki sifat melindungi kawan-kawan mereka, jarang nak bocor rahsia dan jarang ambil pot dengan kisah lelaki lain. Kalau ada pun jarang-jaranglah.


Berlainan kaum wanita, kisah rumahtangga orang yang dah selesai dan si bekas isteri sudah pun mendirikan rumahtangga dengan orang lain, dia masih berdendam dengan wanita yang dia tak suka walaupun dia tidak pernah bertemu atau berkenalan dengan wanita itu. Sila rujuk kisah Burung Hantu yang dicerai suami ketika sedang mengandung. Sehingga sekarang perlawanan yang melibatkan team A dan team B masih disokong ramai ahli dan perlawanan masih lagi berjalan.


Orang lelaki sifatnya lebih linear, oleh kerana itu orang lelaki boleh melayan bola sepak kerana dalam perlawanan bola sepak kalau pemain A menakek kaki pemain B, sekejap sahaja mereka dah bro-bro dan permainan boleh diteruskan tanpa mengendahkan terjahan tadi. Kalau kaum wanita, mahu tak puas hati seminggu. Wanita perlu lebih mengawal perasaan, jangan over sangat komen tentang wanita lain yang selalunya anda tidak kenal.

Wanita harus lebih mempertahankan wanita. Andai bukan kita yang memahami spesis kita, siapa lagi? Wanita juga jangan sailang hak wanita lain, sengaja menyakitkan walaupun kita tak suka disakiti. Wanita perlu membentuk sistem sokongan yang kuat dan jika ada apa-apa krisis yang melibatkan wanita, jangan laju benar menyalahkan jantina sendiri. Cuba memahami, cuba memberi semangat kepada our sisters, kerana percaya atau tidak susur galur kehidupan seorang wanita lebih beronak dan penuh drama. Kalau orang lelaki boleh berbro-bro, kenapa kita perlu membetinakan wanita lain yang kita tidak suka? Jom kita berdiri teguh dengan wanita-wanita lain dalam memartabat dan menangani isu-isu wanita yang kita hadapi. Say yes to sisterhood. #sabarsis #janganemosis