Tuesday 28 February 2017

5 Sebab Anda Mesti Tonton J Revolusi

Bahang kini kian terasa. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum filem aksi "J Revolusi" menggegar panggung seluruh Malaysia. Sejak "trailer"nya ditayangkan pada malam Anugerah Juara Lagu, peminat-peminat filem tempatan telah mula berborak rancak mengenai filem yang mengenengahkan UTK (Unit Tindakan Khas), Polis Diraja Malaysia, buat pertama kalinya dalam sinema tempatan.

Baru-baru ini, YouGoPop sempat menemubual salah seorang penerbit eksekutif filem terbitan bersama Primeworks Studios dan Infinitus Productions ini, iaitu Tengku Iesta. Ikuti 5 sebab mengapa anda harus menonton filem "J Revolusi" bermula 2 Mac 2017 ini...

Penerbit Eksekutif Tengku Iesta (kiri) bersama bintang "J Revolusi", Zul Ariffin
UTK: "Tangkas, Banteras, Ganas"
Pada asalnya, cerita yang dibawa ke pihak produksi oleh pengarah Zulkarnain Ariffin, adalah berlainan sama sekali. "Cerita asal diinspirasikan oleh karektor Jefri Zain, seorang "spy" yang pernah dimainkan oleh Datuk Jins Shamsuddin," kata Tengku Iesta. "Tetapi selepas pihak Infinitus terlibat sama, kami diberitahu yang PDRM tidak membenarkan sebarang cerita yang melibatkan unit "special branch"." Namun pihak PDRM sendiri mencadangkan supaya ianya diubah kepada UTK dan pihak produksi bersetuju. Dengan itu, karakter "J" yang dimainkan Zul Ariffin juga telah ditukar dari seorang pegawai "special branch" kepada operatif UTK. Bukan itu sahaja, pihak PDRM terus memberikan kerjasama dengan membekalkan maklumat mengenai SOP dan lain-lain aspek penting.

"Aset" Canggih DiGunakan
Selain daripada kerjasama dari segi maklumat dan cerita, pihak PDRM juga telah membenarkan penggunaan senjata dan "aset" UTK yang sebenarnya. "Saya pasti mereka yang merupakan "weapon" atau "military aficionado" akan berasa seronok melihat semua ini digunakan," kata Tengku Iesta. "Antaranya juga, penggunaan APC (Armoured Personnel Carrier) atau istilah yang digunakan, kereta-kereta rempuh. (seperti gambar di atas). Hanya ada dua di Malaysia, dan APC ini mampu menghadapi letupan bom dan juga merempuh dinding-dinding konkrit".

Semuanya Kerana "Keluarga"
Walaupun filem ini memaparkan aksi-aksi lasak dan yang agak ganas dengan penggunaan pelbagai jenis senjata, cerita "J Revolusi" juga menekankan aspek kekeluargaan. "Pertama sekali, kita boleh lihat keakraban operatif-operatif UTK seolah-olah seperti sebuah keluarga," jelas Tengku Iesta. "Sebenarnya memang tidak mudah untuk menjadi sebabahagian dari UTK. Setiap tahun, ribuan yang akan memohon, tapi hanya bilangan kecil yang akan terpilih setiap enam bulan."  Selain itu "J Revolusi" juga membawa kisah J yang mempunyai seorang kakak, Dian (Fazura). Ayah mereka merupakan komander UTK, tetapi di situ juga wujud konflik yang serius di antara ketiga-tiga mereka.

Zul Ariffin bersama pengarah filem "J Revolusi", Zulkarnain Azhar

Barisan Pelakon Mantap
Dari segi "casting", penerbit-penerbit "J Revolusi" memilih barisan pelakon yang terbaik untuk menghidupkan setiap karektor yang membawa cabaran tersendiri. Selain daripada Zul Ariffin yang memikul tanggungjawab utama dengan pelbagai gerak aksi berisiko tinggi, filem ini juga menampilkan Fazura yang melalui banyak detik cemas, dan juga Azad Jasmin yang membawa watak "Sekodeng" seorang "computer hacker" dalam UTK, yang juga menyumbang kepada adegan-adegan yang mencuit hati. Izara Aishah pula seorang lagi operatif, Eddie, dan beliau mempunyai beberapa babak "wow" yang pasti akan dibualkan peminat. Watak antagonis utama, Andra, pula dibawa oleh Farid Kamil. "Dan yang paling menarik juga, terdapat 12 orang operatif UTK yang betul turut juga berlakon dalam beberapa babak," kata Tengku Iesta. "Pada mulanya, memang perkara ini dilarang, tetapi pihak PDRM akhirnya bersetuju untuk membenarkan penglibatan mereka."



Sentuhan Andy Lau
Untuk babak-babak aksi, pihak Primeworks and Infinitus bekerjasama dengan "stunt choreographer" yang tak asing lagi, Ameng dan tim beliau. Dan juga buat pertama kalinya, terdapat penglibatan bintang-bintang MMA (Mixed Martial Arts) seperti Peter Davis, yang berlakon serta melatih pelakon-pelakon lain dalam seni MMA itu sendiri.

Namun, tambah Tengku Iesta: "Kami juga mendapat perkhidmatan dua orang pengarah "stunt" yang diterbangkan dari Hong Kong. Ini kerana Infinitus merupakan anak syarikat milik pelakon terkenal Andy Lau. Oleh sebab itu juga, beberapa babak aksi telah dilakukan semula kerana Andy inginkan ia lebih "besar" dan gempak." Antara babak yang dimaksudkan termasuk babak pergaduhan di atas platform yang tergantung di hadapan KLCC. "Dan pujian juga harus diberikan kepada pelakon-pelakon yang ingin melalukan sendiri beberapa aksi ngeri dalam filem ini, selain dari tim "stunt" yang berani, mantap dan kreatif."

Saksikan J Revolusi di pawagam bermula 2 Mac 2017


No comments:

Post a Comment