Monday 28 August 2017

Retak Menanti Belah: 7 Masalah Perhubungan Yang Sukar Dipulihkan


Perkahwinan memerlukan lebih daripada perasaan cinta untuk berjaya kerana apabila dua individu sudah hidup bersama, cabaran yang dihadapi mereka tidak sama ketika mereka sedang bercinta. Apabila kita merelakan individu lain untuk hidup bersama dan berkongsi segalanya, suka dan duka, pelbagai hal boleh berlaku yang akan menyebabkan kita rasa sudah tidak serasi bersama, dan akhirnya mencari jalan keluar. Pilihan untuk berpisah adalah pilihan yang sangat sukar lebih-lebih lagi bila pasangan sudah bercahayamata. Namun untuk meneruskan hidup bersama itu lebih menyeksakan dua jiwa. Sebelum berlakunya retak menanti belah dalam perkahwinan, kenali 6 masalah perhubungan yang sukar dipulihkan dan elakkan daripada terjerumus ke dalamnya.


Curang Bersiri
Kecurangan bukan satu masalah yang unik dalam perkahwinan. Ramai pasangan yang telah berumahtangga pernah membuat perhubungan dengan orang lain tetapi  bukan semua kes akan melibatkan penceraian atau ketidakbahagiaan. Selalunya pasangan akan memberi peluang sekali atau dua kali untuk si dia bertukar menjadi setia dan tidak mengulangi perbuatan itu. Masalah kronik timbul apabila kecurangan ini dilakukan berkali-kali tanpa sedar diri atau ada ciri-ciri untuk kembali ke pangkal jalan kerana hati pasangan yang sering dipecahkan selalunya memang tidak akan dapat bertahan lama.


Penipu Tegar
Mempunyai pasangan yang tidak jujur ini menimbulkan banyak prasangka dalam perhubungan. Tiba-tiba dia hilang dari rumah dan tidak tahu mana perginya. Bila ditanya dia akan berdolak-dalih dan tiada bukti sahih di mana dia berada. Kerahsiaan ini menyulitkan perhubungan kerana dalam hati pasangan terdetik, apakah perkara yang dia sembunyikan, adakah dia seorang yang curang, dan ini akan merosakkan perhubungan dalam jangkamasa panjang.


Kaki Bangkang
Bukan semua perkara perlu dibawa bertengkar. Beralah itu lebih banyak faedahnya daripada bertegang urat, walaupun untuk perkara-perkara kecil. Dan apabila terdapatnya perbezaan pendapat, kedua pihak mahu menang dan merasakan apa yang mereka sokong itu betul. We can always agree to disagree, kita sentiasa boleh memilih untuk bersetuju berbeza pendapat. Benda-benda remeh yang dipanjang-panjangkan akan menyebabkan pasangan tidak dapat memaafkan pihak satu lagi dan ini akan membawa kesan negatif kepada perhubungan.

Nafsu Tidak Seirama
Ini merupakan masalah besar yang selalunya akan menyebabkan perhubungan tidak mampu bertahan atau jika diteruskan akan membuatkan pasangan ini derita berpanjangan. Jika seorang buas, seorang suam-suam kuku, bagaimana hendak melayar bahtera rumahtangga. Pasti si buas berasa tak puas dan si suam kuku terasa dipaksa sentiasa bukan? Jika dua-dua suam-suam sahaja tidak mengapa.


Diriku Adalah Segalanya
Ah si narsisis… dia hanya nampak dirinya dalam semua sudut, semua aspek kehidupan. Pasangannya tidak diendahkan kerana narsisis melihat si dia umpama seorang yang melukut di tepi gantang, tidak penting dan tidak diperlukan. Jika pasangan anda seorang narsisis, perhubungan tentu akan merana kerana dalam perhubungan ini, tiada istilah kita.


Kutuk-Mengutuk
Adoi badan you macam anak gajah,” kata sang suami. “I suka muka yang macam Fattah Amin, apalah nasib dapat you,” kata si isteri. Penghinaan pasangan secara kerap dan berterusan adalah tidak sihat dalam perkahwinan kerana hati si penerima luluh setiap kali dikutuk orang yang disayang. Mungkin ramai yang merasakan ianya hanya gurauan sehingga kutukan itu terkena ke muka sendiri. Penghinaan akan meretakkan perkahwinan yang dibina kerana sedikit demi sedikit hati akan membenci pasangan yang tidak menghargai.


Ruang Kongsi Ditutup Rapat
Komunikasi antara suami isteri itu sangat penting dalam melayari bahtera perkahwinan. Pasangan yang sentiasa menolak dan sentiasa menutup ruang dalam berkongsi perasaan dan pengalaman akan membuat seorang lagi terasa tidak diperlukan lantas menyoal mengapa perlunya dia berada di dalam perhubungan tersebut.


Perkahwinan adalah kontrak antara dua individu untuk meneruskan kehidupan berdua dan membina keluarga bersama. Satu perjalanan yang tidak mudah dan jika dibebankan dengan masalah di atas, berkemungkinan tidak mampu bertahan.

No comments:

Post a Comment