Tuesday 24 January 2017

5 Fakta Gusti Malaysia

Oleh Din Superfly

Tolonglah. Pertama sekali, tak perlu lagi nak buka “teori” gusti itu drama semata-matanya. Sudah pun beberapa dekad WWE (ya, bukan juga WWF), menjenamakan gusti sebagai “sports entertainment” (hiburan sukan). Ia lebih daripada sekadar pertarungan fizikal. Ianya drama dan aksi lagak ngeri, persahabatan dan kebencian, sorakan dan herdikan; semuanya diadun sempurna dalam pakej yang mengujakan. Dan kini, aksi dentuman gusti telah pun menggegarkan venue-venue tempatan. Sama-sama kita laungkan, “Oh hell, yeah!



1. Promosi atau kejohanan gusti tempatan kini dikenali sebagai MyPW dan telah diasaskan oleh Ayez “Shaukat” Fonseka. Seorang peminat “diehard” gusti dari kecil lagi, beliau menerima galakan langsung untuk menubuhkan federasi gusti tempatan daripada legenda WWE, Booker T ketika beliau mengadakan lawatan ke Malaysia. Dengan azam yang membara, Shaukat telah pergi ke Amerika dengan wang tabung bulan madunya (isteri beliau patut diberi pingat kerana ini), untuk membuat “crash course” gusti di sana dengan kos RM12,500. Sekembalinya ke Malaysia, beliau menubuhkan “Persekutuan Gusti Malaysia” (nama asal MyPW), sekolah dan promosi gusti pertama di sini pada 2014. Sejarah pun tercipta.



2. MyPW kini diwarnai pelbagai karakter dan persona seperti The Kid, Furious Faizal, Mad Scholar, Phoenix (ahli gusti wanita), Ace Rembau dan ramai lagi. Persona mereka kebanyakannya merupakan hasil perbincangan dengan Shaukat. Ini termasuk pakaian, mimik muka dan juga “finishing move”.

3. Acara langsung pertama di hadapan penonton telah diadakan sempena acara anjuran PGM (Peminat Gusti Malaysia) pada 2015, yang dikenali sebagai PGMANIA. Majoriti mereka yang beraksi hari itu dilatih Shaukat kurang dari seminggu. Tetapi aksi mereka memukau pengunjung yang datang. Biasanya mereka datang untuk membeli memorabilia atau memasuki pertandingan meniru aksi superstar WWE, tetapi kali ini mereka dihidangkan dengan pertarungan-pertarungan menyakinkan oleh MyPW.


4. Selepas PGMANIA, Shaukat seterusnya menganjurkan UPRISING pada 2016. Nama MyPW semakin dikenali, lebih-lebih lagi di media sosial, dan Shaukat melihat ini sebagai satu peluang keemasan. Beliau menghubungi promosi gusti di Singapura, Filipina dan Vietnam dan mereka bersetuju untuk mempetaruhkan bakat-bakat mereka di bumi Malaysia. Dengan itu juga, MyPW membawa gusti Malaysia ke peringkat antarabangsa.  



5. Berbalik kepada PGM. Persatuan yang diasaskan oleh Hafiz Azwany Taher, kini terus berkembang dengan lebih daripada 18,000 likes di Facebook. Mereka sering dijemput untuk menggamatkan lagi suasana setiap kali adanya superstar WWE berkunjung ke Malaysia. Ahli-ahli PGM juga sangat berpengetahuan luas dalam semua perkara gusti dan diskusi mendalam mereka selepas setiap acara gusti antarabangsa yang besar, sangat menghiburkan.




Saksikan sendiri kehandalan ahli gusti tempatan dan juga rantau ini di acara MYPW RECKONING pada 28 Januari 2017 di Pusat Komuniti, Bukit Damansara


No comments:

Post a Comment