Monday 14 August 2017

Menulis Diari di Media Sosial: Mencari Bahagia atau Mengundang Bencana?



Dear Media Sosial,


Hati ini meronta-ronta mendambakan bahagia tapi apakan daya aku ini hanya manusia biasa. Ya Allah, Kau tunjukkanlah jalan agar aku temui apa yang dicari kerana hakikatnya aku ini seorang insan lemah.

Katanya… Mesej ini tidak ditujukan kepada siapa-siapa, sekadar bait-bait kata. Lantas apabila “kawan-kawan” dalam media sosial membaca coretan tulisan yang menjurus kepada masalah perhubungan, komen-komen pun muncul dari pelbagai arah memberikan pendapat. Maka, si pengadu tadi tersenyum sendiri kerana luahan hatinya mendapat perhatian daripada insan di luar sana. Ternyata ada lagi orang yang sayang, ramai lagi yang ambil kisah, orang keliling masih peduli.  Namun hakikatnya, apabila masalah perhubungan dipaparkan di media sosial, adakah masalah itu dapat diselesaikan atau masalah itu mekar bak bunga kiambang yang segar bugar? Dan dalam banyak-banyak nasihat yang diberi oleh rakan-rakan yang meninggalkan komen, memang ada nasihat yang  baik, dan tidak kurang juga banyak yang memudharatkan.

Jadi apakah tanggungjawab kita sebagai suami dan isteri di dalam perhubungan dan bagaimana kita perlu mengelak daripada memberi gambaran bahawa bahtera perhubungan kita sedang dipukul badai kerana para netizen yang secara amnya merupakan golongan yang peka menilik akaun media sosial orang lain. Bait-bait kata yang kita tuliskan selalunya penuh dengan kekunci perasaan yang mampu diterjemahkan orang lain. Dan lagi parah masalahnya kalau bahtera perhubungan kita tidak bergelora dan orang luar meneka-neka lantas mengharapkan akan drama akan bermula.

Fokus Kepada Bahagia
Apa yang kita lakukan setiap hari membentuk minda dan penampilan kita. Andai bahagia itu sasarannya, fokus untuk menjadi bahagia dengan menulis dan berkongsi kisah-kisah gembira. Kita tidak akan tersenyum jika pos-pos kita bercerita tentang kerumitan, tekanan, masalah dan sebagainya. Cuba kita cari posting-posting yang positif dan bermesejkan bahagia seperti “Cinta dan Rindu ini hanya untuk Suamiku Seorang”, “Ku janjikan kesetiaan sehingga hayat di kandung badan, sayangku”, “Walaupun ramai lelaki sado, abang juo yang sado di hatiku ini..”, “Biar pun Afifah dapat merapat, Aku hanya sudi karaoke dengan isteriku sahaja.” Kalau pasangan kita baca, tentu sekali tersenyum dan kembang dada. Kita boleh mencari bahagia dengan berusaha ke arah itu. Jika hari-hari ditasak dengan mesej derita ditambah dengan komen-komen penambah rasa… bukan sahaja derita yang tiba, porak peranda pun digamit sama.

Jangan Banding-Banding Hidup Kita
Apa yang kita saksikan di media sosial itu banyaknya lakonan semata kerana semua orang mahu kehidupannya dilihat dari sudut yang bercahaya. Hidup orang lain sentiasa akan lebih sempurna di mata kita. Bak kata Mat Salleh, the grass is always greener on the other side. Carilah rumput hijau itu di laman sendiri. Sebagai contohnya, jika kita lihat suami si polan sado dan suami kita sedih… kita bagi suami kita semangat untuk kelihatan lebih segak. Mana tahu dengan taktik kita, dengan kita-kita sekali bersama segak, sado dan cantik. Jika kita lihat suami orang belikan dia hadiah yang best-best, berjenama, janganlah kita bersedih, fokus kepada benda-benda baik yang pasangan kita lakukan pada kita. Abang tak dapat bagi ayang bag mahal, abang tolong ayang basuh baju tiap jumaat pun jadi lah. Kira kalau upah basuh tu RM25 seminggu, setahun abang invest RM1200 lah bak katanya.  Jika kita sering mengkritik pasangan dengan melihat kepada keburukan dia, sesekali kita buat senarai itu untuk diri kita sendiri kerana kita juga tak lepas daripada kelemahan yang pasangan kita terpaksa bertolak ansur. Jangan syok sendiri dan ingat diri kita ini selalu sempurna.

Berfikir Sebelum Pos
Kalau menulis di masa-masa media sosial ketika geram,  laju betul menekan butang post supaya dapat dikongsi geram di hati. Apa kata kita tarik nafas dan berfikir secara waras sebelum berkongsi kisah rumahtangga dengan strangers di media sosial. Mereka ini tidak faham, mereka hanya pemerhati yang tidak tahu butiran tentang kehidupan kita atau perhubungan. Adalah lebih baik jika nasihat itu diminta dari mereka yang berpengalaman seperti ibu ayah, adik-beradik dan kawan yang benar-benar rapat agar kekusutan dapat dilerai bagai menarik rambut di dalam tepung. Jangan kerana amarah sedetik, kita membawa masalah perhubungan kita jauh ke lembah kemusnahan.

Kesan Kepada Persekitaran
Masalah perhubungan selalunya melibatkan ramai pihak tanpa kita sedari, lebih-lebih bila kita sudah berumahtangga. Keluarga kedua belah pihak dan anak-anak perlu diambil kira sebelum kita memaparkan konflik perhubungan kita di media sosial. Kita rasa kita berhak meluahkan perasaan, mana tahu ibu mertua sedang membaca sambil menitiskan airmata. Kita rasa kita boleh bercakap apa saja kerana ini akaun kita, tiba-tiba ada mata kecil yang menatap coretan kita lantas merasakan kehidupan mereka akan ditimpa bencana. Jangan kerana kita rasa meluah rasa di media sosial ini perkara biasa, kita lakukan tanpa ada pertimbangan kepada persekitaran kita.

Kita boleh mengubah kehidupan kita dengan minda yang sihat dan perbuatan yang rasional. Berkongsi atau memberi hint yang kita tidak bahagia di media sosial hanya akan mengundang bencana. Carilah saluran yang lebih sihat untuk kita meluahkan isi hati yang terpendam dan adalah lebih baik jika kita berbincang dengan pasangan untuk kehidupan yang lebih bahagia.

No comments:

Post a Comment