Antara masalah besar pasangan yang telah berumahtangga ialah duit atau lebih tepat lagi masalah kekurangan duit. Jangan terperanjat kalau diberitahu bahawa 70% pasangan mungkin menghadapi masalah ini dan sebab utamanya ialah kerana perihal duit atau kewangan ini sensitif dan tidak selalu dibincangkan secara terbuka. Ramai yang suka sumbat masalah kewangan di bawah permaidani dan berpura-pura bahawa masalah ini tidak wujud. Apabila masalah kewangan ini tidak dapat dibendung lagi, lantas ianya akan menyebabkan perhubungan menjadi tegang dan sukar untuk diurus kerana kebanyakan pasangan tidak memiliki kemahiran untuk membicarakan tentang duit. Sebaik-baiknya bab kewangan dan cara menguruskan perlu diatasi di awal perhubungan agar kedua pasangan jelas yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam kisah mengurus duit keluarga.
YouGoPop memberi saranan agar pasangan di luar sana mengelak dari melakukan 8 perkara di bawah ini untuk tidak menjadikan masalah kewangan sebagai penyebab rosaknya perhubungan.
Pentingkan Duit Daripada Perhubungan
“Bang, si polan tu kan... kaya gila..Apa wife dia nak pun dapat,” kata si isteri kepada suaminya. Tanpa disedari hati suami pecah seribu mendengar ayat tersebut kerana seolah si isteri tadi mengejek kebolehannya menyediakan duit yang banyak untuk dibelanja tanpa risau, sedangkan dia dah memberikan secukupnya walaupun tidak mewah. Isteri sekarang suka tag-tag suami beg-beg mahal berjenama sedangkan dia jelas yang suami beliau tidak akan mampu mengumpul duit sebanyak itu untuk menghadiahkannya barangan berjenama itu tadi. “Duit saya, saya punya, cannot share-share” herdik si isteri pula walaupun dalam keadaan suaminya sedang mengalami krisis ekonomi. Ketika pasangan mengangkat duit lebih berharga daripada perhubungan, akibatnya tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.
Sembunyikan Hutang atau Pembelian
Jangan buat-buat pandang ke atas ye… ramai kita yang melakukannya. Perkara ini sering terjadi dan semakin berleluasa di masa kini kerana wujudnya shopping di atas talian. Hanya lengkapkan satu dua langkah, esok lusa barang sampai ke pejabat. Pasangan tak perlu tahu berapa duit yang telah gunakan atau apakah item yang telah dibeli; yang penting nafsu berbelanja dapat dilempias. Sikap berbelanja kurang berhemah ini akan menyebabkan ekonomi keluarga terbeban walaupun pasangan tidak mengetahuinya kerana akhirnya baki akaun akan menyusut atau beban hutang semakin bertambah.
Tidak Berbincang Sebelum Membeli
“Yang.. abang dah beli PS4!! Woo hoo!!,” gembiranya suami menyampaikan berita sedangkan berita ini membuat isteri berduka kerana bukan sahaja duit telah dibelanjakan tetapi duit tersebut perlu digunakan untuk tujuan yang lebih penting seperti cukai jalan yang akan sampai di hujung bulan yang sama. “Abang... cantikkan sofa baru kita, “ isteri teruja memberi kejutan kepada suami yang memang terkejut biru sebab dia tahu mereka belum mampu untuk membeli sofa bernilai RM5 ribu itu. Atau suami membeli tiket kapalterbang ke luar negara dan kemudian meminta isteri menyediakan duit hotel dan belanja. Semuanya akan menjadi lebih baik dan teratur jika dibincangkan bersama sebelum apa-apa perbelanjaan besar dimuktamadkan.
Tidak Endah Perihal Butiran
Pasangan perlu tahu ke mana duit mereka pergi kerana dengan mengetahui fakta ini, duit boleh diurus dengan lebih teratur dan bermanfaat. Tiba-tiba kita sudah short walaupun masih berada di minggu ketiga dan seluruh keluarga diminta betul-betul berjimat di minggu terakhir kerana bajet seluruh bulan telah digunakan dengan banyak di minggu pertama dan kedua. Nak makan steak mahal, jom! Nak pergi bercuti di resort best di Port Dickson, jom! Kawan-kawan minta belanja, jom! Akhirnya duit berkurangan tanpa kita tahu ke mana duit kita melayang, dan akhirnya keluarga dan pasangan yang akan menderita.
Terlalu Mengawal Pengaliran Wang
Boros itu ternyata tidak baik tetapi terlalu mengawal penggunaan duit juga membahayakan. Pasangan yang terlalu mengawal duit sampaikan tidak ada ruang untuk menikmati pendapatan yang diterima pasti mampu membuatkan pasangan beliau tertekan. “Nak beli baju sampai RM79? Dah, tak payah.. Cari yang bawah RM50 sudah.” “Tak perlulah minum kopi mahal ni, saya buatkan kopi di rumah sahaja.” Ada juga isteri yang hanya beri suami duit poket tetap RM15 sehari ke tempat kerja atas alasan takut suami boros. Kedekut juga ada kesannya! Setiap insan yang bekerja itu ada sebabnya dan biarlah kita menikmati pendapatan kita tetapi jangan berlebihan.
Menggunakan Duit untuk Menyakiti Pasangan
“Amboi, dahlah pokai… lagi nak keluar makan dengan kawan-kawan? You ni memang tak sedar diri ke?,” isteri memerli suami, “Kalau bukan guna duit saya, takkan kita senang macam ni, “ suami pula menyakitkan hati isteri. Menggunakan hal duit untuk menyakitkan hati pasangan adalah satu perbuatan yang keji. Alangkah elok kalau berbincang agar masing-masing tahu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan apabila duit telah dibelanjakan untuk sesuatu perkara, mengungkit itu elakkan.
Tidak Memahami Perspektif Pasangan Tentang Pengurusan Duit
Ada mereka yang hidup susah dari kecil lantas apabila ada pendapatan yang baik, mereka lebih cermat membelanjakannya agar tidak lagi terjerumus ke kehidupan yang lepas. Ada juga yang memang dilahirkan dengan sudu perak disuap ke mulut dan merasakan nilai RM100 itu seperti RM10 sahaja dan berbelanja tanpa berkira. Ada juga yang sudah tidak mahu bersusah lagi dalam hidup dan berbelanja sesuka hati dengan pendapatan tinggi yang diterima hari ini tanpa memikirkan masa depan. Dengan mengenali dan memahami sudut pandangan pasangan berkaitan duit, anda akan lebih tahu bagaimana menguruskan kewangan pasangan dengan baik.
Berbincang Tentang Duit Ketika Sedang Tegang
Sila periksa keadaan hati masing-masing sebelum ingin memulakan perbincangan tentang duit. Janganlah dilakukan ketika tengah marah kerana hasilnya sudah tentu akan mengerikan. Kekurangan duit ini boleh menjadi hinaan ketika sedang panas hati. “Dahla tak hensem, pokai pulak!,” tak ke terbakar hati suami mendengar ayat ini dan tentu sekali perbincangan akan bertukar menjadi pertengkaran. “You tak habis-habis beli makeup, minggu ni je dah seribu! Muka cam tu je lagi!, “ dan pertengkaran akan hangat kalau masing-masing mempunyai banyak peluru untuk digunakan.
Secara ringkasnya, pasangan perlu bersama-sama menetapkan peraturan dan sempadan bila berurusan dengan kewangan keluarga, contohnya jangan berbelanja lebih daripada RM1000 untuk diri sendiri sebulan. Untuk pembelian lebih daripada sesuatu jumlah, persetujuan pasangan diperlukan. Hasilkan tabung-tabung yang perlu diisi untuk bercuti, pendidikan anak-anak, bantuan ibu bapa dan sebagainya. Kedua-dua pasangan perlu jelas dengan tanggungjawab masing-masing dan sedaya upaya ikut peraturan supaya keharmonian dapat dikekalkan walaupun adanya Zalora, FashionValet, Lazada dan sebagainya di luar sana.
No comments:
Post a Comment