Tuesday, 11 July 2017

Workshop Pengacaraan Majlis Rasmi & TV Bersama Halim Othman


Serlahkan bakat pengacaraan anda! Dapatkan panduan berharga daripada salah seorang ikon industri dengan menyertai WORKSHOP PENGACARAAN MAJLIS RASMI & TV Bersama HALIM OTHMAN!

Anda ada gaya, suara dan minat yang mendalam. Ambil langkah berani seterusnya dengan mempertingkatkan ilmu untuk anda membina nama sebagai seorang pengacara yang berkaliber.

Antara perkongsian di workshop ini:

· Memahami audiens dan lokasi 
· Menulis dan menyunting skrip 
· Menghadapi segala kemungkinan 
· Penggunaan bahasa tubuh yang betul

Latihan-latihan praktikal juga akan dijalankan bagi mempertingkatkan kemahiran dan keyakinan perserta-peserta. Anda juga akan diberikan maklum balas terus daripada Halim Othman!

Butiran program:

Tarikh: 29 Julai 2017
Masa: 9.30pg-5ptg (makan tengahari disediakan)
Tempat: Arte Academy, B-1-2, IOI Boulevard, Jalan Kenari 5, Bandar Puchong Jaya, 47100, Puchong

Tawaran “early bird” yang terhad!

Daftar sebelum/pada 10 Julai 2017: RM299
Harga biasa: RM350
Harga istimewa pelajar IPTA/IPTS: RM199

Sijil turut disediakan.

Hubungi segera untuk mendapatkan tempat anda!
012-3456055
info@yougotraining.com
WeChat: yougotraining


Tuesday, 23 May 2017

3 Perkara Mesti Buat Di Liverpool

Oleh YougoGoPop

Sewaktu bercuti ke UK baru-baru ini, YouGoPop sempat juga ke kota Liverpool. Walaupun hanya untuk 2 hari 1 malam, banyak juga pengalaman menarik yang sempat kami alami.

Untuk ke Liverpool, kami memilih untuk mengambil bas dari Victoria Bus Station di London. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 6 jam dengan satu berhenti rehat dan juga di Manchester untuk menurunkan penumpang. Walaupun masa perjalanan agak lama, tetapi selesa dan banyak juga pemandangan yang menarik yang dapat kami lihat.



Seterusnya, inilah 3 perkara mesti buat bila berada di sana.

1. Liverpool ONE
Bas kami berhenti di sini dan di sini jugalah tempat membeli belah yang terbesar di Liverpool dan kelima di UK. Berkonsepkan "open air" dan meliputi kawasan yang luas, terdapat pelbagai jenis kedai untuk semua jenis bajet, dan juga tempat isirehat termasuk sinema, serta restoran, bar dan kafe. Perlu mengambil masa juga untuk "explore" semua yang ditawarkan, jadi kami pun hanya sempat menjenguk sepintas lalu apa yang terdapat di sini.

Gambar oleh: Mike Pennington/Wikipedia

Paling lama, kami menghabiskan masa di kedai buku Waterstone's. Ah, memang sangat mengujakan buat mereka yang minat mencari bahan-bahan bacaan yang mungkin tidak terdapat di kedai-kedai buku biasa. Dekor dan susunan buku di sini juga sangat menarik dan "mengundang" kami untuk menghabiskan masa dengan lebih lama.




2. Albert Dock
Dibuka pada  tahun 1846, dok dan gudang di sini merupakan penjana ekonomi utama kota Liverpool. Dan pada tahun 1988, ia dibuka semula selepas 16 tahun ditutup, dan kini menjadi antara tarikan utama pelancong dengan adanya muzium-muzium, kafe, kedai untuk membeli belah dan pelbagai kemudahan lain.



Dengan cuaca yang agak sejuk ketika kami berkunjung ke sana, memang seronok berjalan mengambil angin di sini sambil menikmati pemandangan yang indah dan suasana yang tenang.




Seperti di kota-kota lain di UK, memasuki muzium-muzium adalah PERCUMA secara amnya, dengan pilihan untuk membuat sumbangan ikhlas. Kami sempat berkunjung ke Museum of Liverpool, dan dalam masa kurang 2 jam, banyak yang dapat kami pelajari tentang kota ini.

Dan sudah tentu fokus kami lebih kepada sejarah muzik Liverpool yang begitu kaya dan disegani, termasuklah kisah band yang paling terkenal di dunia, The Beatles.




Di sini juga, kami sempat menaiki Wheel of Liverpool untuk menikmati pemandangan dari atas yang hebat.



Jika anda ada masa, satu tarikan mesti-pergi sudah tentu pameran The Beatles Story. Malangnya, kami tidak berkesempatan buat kali ini.


3. Stadium Anfield
Semestinya kami tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke salah sebuah stadium paling terkenal di dunia ini. Ada beberapa cara untuk ke sana, termasuk mengambil bas Hop On, Hop Off dengan bayaran GBP8 setiap seorang. Namun, kami mengambil Black Cab dengan perjalanan tak sampai 10 minit.

Pemandu teksi juga teruja bila mendapat tahu kami dari Malaysia. "You've come all the way to see Liverpool? My goodness!" katanya.

Kalau anda peminat kelab bolasepak Liverpool, kali pertama menatap stadium ini yang biasanya dilihat melalui kaca television setiap minggu, memang pengalaman penuh magis. Di sinilah deretan trofi telah dimenangi dan lagenda disanjungi.



Sebelum ke stadium, kami telah pun membuat tempahan tiket Stadium Tour (17GBP untuk dewasa), jadi selepas mengelilingi stadium dalam cuaca yang agak sejuk, kami pun mengikuti tour guide kami bersama pengunjung-pengunjung yang lain.

Cukup kami katakan yang inilah GBP17 yang paling berbaloi pernah kami belanjakan. Kunjungan ini membawa kami ke hampir setiap pelosok Stadium Anfield; dari lounge pemain, ke bilik pertukaran pakaian, ke main stand dan ke padang (walaupun tak boleh pijak rumputnya).





Dan kami diberikan masa secukupnya untuk mengambil seberapa banyak gambar dan video yang kami inginkan. Oh ya, walaupun tidak dibenarkan untuk pijak padang di Anfield ini, kami dibenarkan membawa pulang secebis rumput yang baru dipotong sebagai kenangan : )



Tuesday, 28 February 2017

5 Sebab Anda Mesti Tonton J Revolusi

Bahang kini kian terasa. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum filem aksi "J Revolusi" menggegar panggung seluruh Malaysia. Sejak "trailer"nya ditayangkan pada malam Anugerah Juara Lagu, peminat-peminat filem tempatan telah mula berborak rancak mengenai filem yang mengenengahkan UTK (Unit Tindakan Khas), Polis Diraja Malaysia, buat pertama kalinya dalam sinema tempatan.

Baru-baru ini, YouGoPop sempat menemubual salah seorang penerbit eksekutif filem terbitan bersama Primeworks Studios dan Infinitus Productions ini, iaitu Tengku Iesta. Ikuti 5 sebab mengapa anda harus menonton filem "J Revolusi" bermula 2 Mac 2017 ini...

Penerbit Eksekutif Tengku Iesta (kiri) bersama bintang "J Revolusi", Zul Ariffin
UTK: "Tangkas, Banteras, Ganas"
Pada asalnya, cerita yang dibawa ke pihak produksi oleh pengarah Zulkarnain Ariffin, adalah berlainan sama sekali. "Cerita asal diinspirasikan oleh karektor Jefri Zain, seorang "spy" yang pernah dimainkan oleh Datuk Jins Shamsuddin," kata Tengku Iesta. "Tetapi selepas pihak Infinitus terlibat sama, kami diberitahu yang PDRM tidak membenarkan sebarang cerita yang melibatkan unit "special branch"." Namun pihak PDRM sendiri mencadangkan supaya ianya diubah kepada UTK dan pihak produksi bersetuju. Dengan itu, karakter "J" yang dimainkan Zul Ariffin juga telah ditukar dari seorang pegawai "special branch" kepada operatif UTK. Bukan itu sahaja, pihak PDRM terus memberikan kerjasama dengan membekalkan maklumat mengenai SOP dan lain-lain aspek penting.

"Aset" Canggih DiGunakan
Selain daripada kerjasama dari segi maklumat dan cerita, pihak PDRM juga telah membenarkan penggunaan senjata dan "aset" UTK yang sebenarnya. "Saya pasti mereka yang merupakan "weapon" atau "military aficionado" akan berasa seronok melihat semua ini digunakan," kata Tengku Iesta. "Antaranya juga, penggunaan APC (Armoured Personnel Carrier) atau istilah yang digunakan, kereta-kereta rempuh. (seperti gambar di atas). Hanya ada dua di Malaysia, dan APC ini mampu menghadapi letupan bom dan juga merempuh dinding-dinding konkrit".

Semuanya Kerana "Keluarga"
Walaupun filem ini memaparkan aksi-aksi lasak dan yang agak ganas dengan penggunaan pelbagai jenis senjata, cerita "J Revolusi" juga menekankan aspek kekeluargaan. "Pertama sekali, kita boleh lihat keakraban operatif-operatif UTK seolah-olah seperti sebuah keluarga," jelas Tengku Iesta. "Sebenarnya memang tidak mudah untuk menjadi sebabahagian dari UTK. Setiap tahun, ribuan yang akan memohon, tapi hanya bilangan kecil yang akan terpilih setiap enam bulan."  Selain itu "J Revolusi" juga membawa kisah J yang mempunyai seorang kakak, Dian (Fazura). Ayah mereka merupakan komander UTK, tetapi di situ juga wujud konflik yang serius di antara ketiga-tiga mereka.

Zul Ariffin bersama pengarah filem "J Revolusi", Zulkarnain Azhar

Barisan Pelakon Mantap
Dari segi "casting", penerbit-penerbit "J Revolusi" memilih barisan pelakon yang terbaik untuk menghidupkan setiap karektor yang membawa cabaran tersendiri. Selain daripada Zul Ariffin yang memikul tanggungjawab utama dengan pelbagai gerak aksi berisiko tinggi, filem ini juga menampilkan Fazura yang melalui banyak detik cemas, dan juga Azad Jasmin yang membawa watak "Sekodeng" seorang "computer hacker" dalam UTK, yang juga menyumbang kepada adegan-adegan yang mencuit hati. Izara Aishah pula seorang lagi operatif, Eddie, dan beliau mempunyai beberapa babak "wow" yang pasti akan dibualkan peminat. Watak antagonis utama, Andra, pula dibawa oleh Farid Kamil. "Dan yang paling menarik juga, terdapat 12 orang operatif UTK yang betul turut juga berlakon dalam beberapa babak," kata Tengku Iesta. "Pada mulanya, memang perkara ini dilarang, tetapi pihak PDRM akhirnya bersetuju untuk membenarkan penglibatan mereka."



Sentuhan Andy Lau
Untuk babak-babak aksi, pihak Primeworks and Infinitus bekerjasama dengan "stunt choreographer" yang tak asing lagi, Ameng dan tim beliau. Dan juga buat pertama kalinya, terdapat penglibatan bintang-bintang MMA (Mixed Martial Arts) seperti Peter Davis, yang berlakon serta melatih pelakon-pelakon lain dalam seni MMA itu sendiri.

Namun, tambah Tengku Iesta: "Kami juga mendapat perkhidmatan dua orang pengarah "stunt" yang diterbangkan dari Hong Kong. Ini kerana Infinitus merupakan anak syarikat milik pelakon terkenal Andy Lau. Oleh sebab itu juga, beberapa babak aksi telah dilakukan semula kerana Andy inginkan ia lebih "besar" dan gempak." Antara babak yang dimaksudkan termasuk babak pergaduhan di atas platform yang tergantung di hadapan KLCC. "Dan pujian juga harus diberikan kepada pelakon-pelakon yang ingin melalukan sendiri beberapa aksi ngeri dalam filem ini, selain dari tim "stunt" yang berani, mantap dan kreatif."

Saksikan J Revolusi di pawagam bermula 2 Mac 2017


Monday, 27 February 2017

Dan Pemenangnya... Bukan Yang Itu! 5 Kesilapan Terbesar Malam Anugerah

Memang kecoh pagi ini (waktu Malaysia) apabila satu kesilapan besar telah berlaku di penghujung Anugerah Akademi yang ke-89. Majlis yang telah pun berjalan dengan baik selama 3 jam yang dihoskan Jimmy Kimmel itu, akhirnya dicemari dengan pengumuman pemenang anugerah Filem Terbaik yang salah!!

Tapi ini bukanlah kali pertama kesilapan besar terjadi di sebuah majlis anugerah gilang-gemilang. samada berpunca dari masalah teknikal mahupun "human error".

YouGopPop mengimbas kembali 5 kesilapan terbesar yang pernah terjadi di malam-malam anugerah:


Bukan "La La Land"!
Sudah tentu kita bermula dengan yang paling baharu berlaku. Warren Beatty dan Faye Dunaway telah diberikan tugasan untuk mengumumkan pemenang anugerah Filem Terbaik. Beatty kelihatan terpinga-pinga apabila sampul dibuka dan terus menyerahkan tugas kepada Dunaway, yang dengan senyum lebarnya mengumumkan "La La Land" sebagai pemenang! Penerbit dan pelakon-pelakon filem itu terus mengambil pentas untuk memberikan ucapan masing-masing. Pada masa yang sama, kelihatan kekecohan berlaku. Rupanya, filem "Moonlight" yang sepatutnya menang! Sehingga kini, apa yang kita tahu adalah Beatty telah diberikan sampul yang salah, iaitu untuk anugerah Pelakon Wanita Terbaik. Dengan terpampangnya nama "Emma Stone, "La La Land", Dunaway pun terus mengumumkan filem itu sebagai pemenang. Memang ini merupakan malam yang tidak akan dilupakan!

Credit: @curlycomedy 

Oh Adele!
Beberapa minggu sebelum malam Oscar ini pula terlah berlangsung anugerah Grammy. Adele, yang turut menang besar pada malam itu, telah diberikan penghormatan untuk menyanyikan lagu "Fast Love" sebagai penghormatan kepada mendiang George Michael. Namun persembahan beliau seperti ada yang tak kena. Selepas korus yang pertama, Adele sendiri memberhentikan persembahan dan sambil mengeluarkan perkataan carut, beliau meminta maaf atas kepincangan nyanyiannya. Emosi yang tak terkawal telah menyebabkan beliau menyanyi agak sumbang. Buat pertama kalinya di pentas Grammy, sesebuah persembahan telah dimulakan semula, tetapi Adele menyampaikannya dengan "flawless" kali ini.

Mana Teleprompter Wei!
Beberapa minggu lepas juga di malam anugerah Golden Globes, hos Jimmy Fallon naik ke pentas dengan diiringi tepukan gemuruh. Namun, belum sempat beliau memulakan majlis, mesin "teleprompter" di hadapan pentas gagal berfungsi! Bayangkan, setelah gigih membuat latihan dan pelbagai persediaan, majlis bermula dengan kegagalan teknikal yang besar! Nasib baik Fallon berjaya mengawal keadaan dengan baik.





Michael Jackson Diranjau!
Di MTV Video Music Awards (VMA) 2002, Britney Spears telah naik ke pentas untuk mengucapakan selamat hari lahir yang ke-44 kepada Michael Jackson. Dalam ucapannya, Britney telah memanggil Michael "artist of the millennium". Michael menyangkakan yang beliau telah diberikan anugerah "artist of the millennium" itu dan membuat ucapan terima kasih, sedangkan anugerah itu langsung tidak wujud!




Kesian Miss Colombia
Kesilapan ini kini dianggap sebagai taraf legenda. Di pertandingan Miss Universe 2015, hos Steve Harvey telah mengumumkan Miss Colombia sebagai pemenang. Audiens mula bersorak dan Miss Colombia tampil kehadapan untuk dipakaikan tiara dan "sash", serta menerima bunga dari pemenang tahun sebelumnya. Tapi Harvey kemudiannya muncul semula dan memberitahu penonton yang beliau telah menyebut nama yang salah. Pemenang sebenar ialah Miss Philippines, yang kelihatan tercengang dan kemudiannya agak malu untuk mengambil takhta beliau. Tiara dari Miss Colombia telah diambil semula, dan Harvey terus menerus meminta maaf sehingga siaran tamat.


Friday, 17 February 2017

Skim Cepat Kaya: Saksikan Iklan Dulu-Dulu Ini (Tapi Masih Tak Serik)

Media sosial kini penuh dengan isu MLM dan skim cepat kaya. Ada yang menggunakan platform ini sebagai jalan mudah untuk memasarkan "produk" mereka dan mencari ahli-ahli baharu. Pada masa yang sama, terdapat kini beberapa kumpulan besar yang berjuang mencelikkan mata masyarakat dari terus tertipu dengan skim-skim yang telah pun dibuktikan sebagai "scam" semata-mata.

Kerugian yang dialami orang persendirian mahupun syarikat, bukan dalam jumlah yang sedikit, tetapi mencecah BERBILION-BILION! Tapi yang peliknya, masih ramai yang mudah termakan dengan taktik yang menjanjikan pulangan yang tak munasabah selain dikaburi kemewahan yang kononnya dikecapi oleh mereka yang telah "berjaya".

Apa lagi yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa? Berita sebegini sering terpampang di dada-dada akhbar mahupun di media sosial. Dan saksikan sendiri iklan ini yang pernah ditayangkan beberapa dekad yang lalu...