Tuesday 22 August 2017

Anda Bermasalah Dengan Millennial? Atau Andakah Masalahnya?


Berbagai keluhan dan tohmahan dilemparkan tentang sikap golongan millennial oleh generasi sebelumnya. Untuk mereka yang kurang pasti, golongan millennial merupakan gabungan Generasi Y yang lahir di antara tahun 1983 -1991 dan Generasi Z yang lahir di antara tahun 1992-2001. Maksudnya, mereka sekarang berusia di sekitar 16 hingga 34 tahun. Generasi  millennial ini digambarkan sebagai anak-anak yang merasakan diri mereka berhak untuk menuntut apa sahaja yang mereka mahu dan golongan yang mementingkan diri sendiri.  Millenial telah dilabel mempunyai sifat dan sikap yang berbeza daripada generasi sebelumnya; samada sifat ini dilihat negatif atau sebaliknya, anda nilaikan sendiri.

Kurang Kemahiran 3M
Hmm…. kalau ditanya si millennial, bila kali terakhir mereka menghabiskan masa membaca buku, mungkin mereka akan merenung langit untuk memikirkan tarikh itu. Kekurangan penguasaan membaca, menulis dan mengira ini berpunca dari kemunculan Internet  yang sentiasa menghidangkan semua informasi yang mereka inginkan di hujung jari sahaja. Jadi, kenapa perlu ingat jika semua maklumat boleh didapati dengan mudah? Lainlah dengan generasi sebelumnya yang perlu memasukkan semua informasi di dalam kepala atau perlu menulis di buku nota kerana Internet tidak ada. Siapa Michelangelo? Siapa Picasso? Apa nama negara-negara di Asia Barat? Kita tanya saja Uncle Google dan jawapannya akan ada di sana. Sama juga dengan kemahiran nombor. Andai tidak pasti, semak sahaja Internet kerana jawapannya semua ada di sana. Masalahnya bila disuruh menulis dalam kerja, mengira perkara mudah seperti peratusan, margin dan sebagainya, masalah mula timbul. Susahnyalah nak menulis emel kepada pelanggan, susahnya nak kira itu ini kerana berpunca dari kurangnya input yang masuk ke benak masing-masing. Tepuk dada tanya kepala.

Tidak Kemas Bergaya
Golongan millennial membawa terma casual  ke satu tahap yang mengerikan. Kenapa tidak berstokin jika bersepatu? Kenapa seluar selalu ketat dan senteng? Hanya mereka sahaja tahu jawapannya. Kenapa pemakaian t-shirt lusuh bagai gelandangan menjadi ikutan? Kenapa lelaki membawa beg klac yang dikepit di ketiak? Apakah yang mereka bawa dalam klac itu? Mereka bagai tidak tahu bagaimana gaya ke pejabat, apa yang boleh dan apa yang tidak sesuai. Berapakah panjang skirt yang boleh diterima di tempat kerja? Jeans boleh pakai di hari apa? Kasut kerja yang sesuai bagaimana? Rambut boleh diwarna atau potongan rambut yang bagaimana dikira sesuai?  Pengurus memang pening kepala memikirkan cara menguruskan millennial yang tidak kene gaya. Tapi bukankah mereka yang hidup pada tahun 60an mengalami masalah yang sama dengan berbaju jarang dan berseluar yankee? Remaja-remaja rock kapak 80an yang memakai kemeja besar dengan pad dibahu sebesar roti?

Pincang Kemahiran Sosial
Walaupun golongan millennial hyper aktif di media sosial, mereka tidak mempunyai kemahiran sosial yang baik. Jika memerlukan mereka berkomunikasi secara bersemuka, ramai akan kelu lidah tidak tahu bagaimana untuk berkata-kata. Ini disebabkan golongan ini hidup dan berkomunikasi menggunakan teks dan emoji di sepanjang masa. Mereka tidak menghargai cara berkomunikasi secara bersemuka kerana di banyak ketika, mereka tidak memerlukannya. Whatsapp, WeChat, facebook, Twitter, emel membolehkan mereka untuk ‘lepas’ tanpa perlu bersemuka jadi mereka tidak mengganggap kemahiran sosial muka-ke-muka ini sesuatu yang penting. Dulu-dulu nak tackle awek kerana berani berhadapan, sekarang Whatsapp sahaja dengan emoji yang comel sudah memadai. Twitter pula memberi cabaran 140 karakter termasuk space supaya apa yang ingin disampaikan padat sehinggakan Donald Trump pun ketagih menulis di sana. Inilah gaya hidup millenial yang banyak berbeza dengan Baby Boomers dan Generasi X yang lebih tua.

Tidak Sudi Bersusah Payah
Bak kata pepatah lama, sikit-sikit lama-lama jadi bukit… bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Pepatah-pepatah ini tidak lagi relevan kepada millennial kerana mereka tidak mahu menghabiskan tenaga membuat kerja-kerja yang menghasilkan pendapatan yang sedikit. Mereka inginkan perubahan yang cepat dan ingin menikmati kehidupan yang selesa dalam masa yang singkat. Namun, dunia ini bukan tempat magikal yang menghidangkan keajaiban ini. Jika tidak dapat dalam masa yang singkat, mereka akan melompat ke tempat kerja baru dengan tuntutan gaji yang lebih tinggi. Jika lompat satu kali, naik RM100, lompat lima kali sudah RM500, itulah cara pemikiran mereka. Mengapa perlu setia jika kita menderita? Mengapa perlu bersusah payah untuk mencapai impian orang lain, itu kata mereka. Bagaimana? Ada betulnya?


Mahukan Keseimbangan Hidup/Kerjaya
Generasi millennial memerlukan keseimbangan hidup dan kerjaya, worklife balance katanya. Bila mendengar perkara ini ditimbulkan, generasi sebelum mereka akan roll eyes tidak percaya berbaur meluat. Berada di dalam umur yang produktif, mereka tentu sekali diharapkan dapat menyumbang lebih dalam menjana produktiviti syarikat dan seterusnya negara. Namun, mungkin kerana di waktu mereka membesar, anak-anak ini menjadi mangsa ibu bapa yang taksub kepada pekerjaan dan tidak mengendahkan mereka, sikap fokus kepada kerja tidaklah sesuatu yang mereka idamkan. Generasi lama beranggapan sebelum mereka mahu bercerita tentang worklife balance, mungkin mereka perlu memeriksa bank account balance masing-masing. Bagi generasi lama, setelah bersusah payah bertahun lamanya baru mungkin dapat menikmati keseimbangan ini tetapi generasi baru mahukan keseimbangan ini bermula awal. Ada yang meminta untuk bekerja waktu fleksibel, ada yang mahukan untuk dibenarkan bekerja dari rumah dan sebagainya. Adakah permintaan mereka melampaui batas atau adakah ini perkara perlu yang harus dipandang serius?

Setiap generasi memandang serong kepada generasi seterusnya kerana mereka merasakan generasi merekalah yang terbaik sekali. Walau bagaimanapun perlu diingat bahawa kita tidak hidup dalam generasi mereka, dan gaya hidup yang mereka impikan tidak sama dengan kita. Cabaran orang lama ialah untuk mencari cara mengadaptasi kemasukan golongan millennial ke dalam pekerjaan dan kehidupan mereka. Oleh itu,  janganlah kita terlalu prasangka, mungkin kita perlu belajar menerima.

* Penulis merupakan Generasi X yang ruang kerjanya semakin dikelilingi Generasi Millennial.

No comments:

Post a Comment